ANGGOTA Kumpulan Keselamatan Presiden di Istana Lamacanang di Manila pada 21 Oktober 2005. FOTO AFP
ANGGOTA Kumpulan Keselamatan Presiden di Istana Lamacanang di Manila pada 21 Oktober 2005. FOTO AFP
Agensi

EMPAT pengawal peribadi Presiden Filipina Rodrigo Duterte cedera ditembak sekumpulan lelaki disyaki pemberontak komunis, hari ini.

Kejadian itu berlaku sehari selepas kumpulan berkenaan memberi amaran untuk melancarkan serangan.

Duterte tidak berada dalam konvoi ketika pemberontak berkenaan melancarkan serangan terhadap dua kenderaan Kumpulan Keselamatan Presiden di lebuh raya di Mindanao.

Seorang pegawai tentera menuduh Tentera Baru Rakyat, sayap bersenjata Parti Komunis Filipina bertanggungjawab melakukan serang hendap itu.

Serangan itu dilakukan sehari selepas Duterte meminta Kongres melanjutkan undang-undang tentera sehingga Disember dalam usaha menumpaskan militan yang ada hubungan dengan Daish di bandar Marawi.

Parti Komunis FIlipina menggesa sayap bersenjatanya melancarkan serangan sebagai tindak balas terhadap rancangan Duterte untuk melanjutkan undang-undang tentera itu.

Pegawai kanan tentera berkata, empat pengawal yang cedera itu dalam perjalanan ke sebuah lagi bandar di Mindanao ketika mereka diserang.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Julai 2017 @ 12:35 PM