MOHD AsrI dan bapa, Yusoff di ladang mempelam harumanis mereka.
MOHD AsrI dan bapa, Yusoff di ladang mempelam harumanis mereka.
Zaitie Satibi

Mempelam harumanis yang popular dengan keenakan rasa dan bernilai eksklusif sehingga mendapat permintaan tinggi mendorong lima beranak mengusahakan tanaman berkenaan, malah menubuhkan koperasi untuk melancarkan aktiviti pemasaran di samping menjaga kepentingan anggota dalam pembangunan industri harumanis.

Pengerusi Koperasi Pengusaha Harumanis Y.A, Mohd Asri Yusof berkata, mempelam harumanis adalah sejenis buah bermusim pada April hingga Jun di Perlis dan sentiasa menjadi sebutan ramai.

Disebabkan itu, kerajaan negeri melakukan usaha berterusan bagi meletakkan mempelam harumanis sebagai satu daripada sumber ekonomi yang menyaksikan ramai pekebun dan peladang berlumba-lumba untuk mengusahakan tanaman itu.

“Dalam keluarga kami tanaman mempelam harumanis diusahakan ayah saya, Yusoff Awang, 73, sejak 25 tahun lalu.

“Sebelum itu, ayah mengusahakan mempelam sala atau dikenali sebagai Perlis Sunshine.

“Selama lima tahun ayah menanam mempelam sala sebelum Jabatan Pertanian negeri ketika itu memperkenalkan harumanis yang dikatakan mempunyai potensi besar dalam meningkatkan sumber pendapatan pekebun kecil,” katanya.

Mohd Asri yang berusia 51 tahun berkata, biarpun bertahun-tahun bapanya mengusahakan tanaman mempelam harumanis, namun orang tuanya itu menghadapi masalah pemasaran berikutan tiada kaedah yang sistematik.

“Walaupun Jabatan Pertanian banyak membantu daripada segi promosi dan pemasaran, namun masalah tetap wujud berikutan pengusaha yang terlalu ramai dan masing-masing mempunyai kesulitan tersendiri.

“Pemasaran dilakukan ayah pula kurang berkesan menyebabkan banyak buah rosak kerana tidak dapat diedarkan dengan sempurna. Bermacam cara dilakukan seperti menjual di tepi jalan dan menyertai pelbagai program pertanian,” katanya.

MOHD ASRI menunjukkan harumanis yang dipasarkan koperasi.
MOHD ASRI menunjukkan harumanis yang dipasarkan koperasi.

Bagi mengelak kerugian lebih besar, Mohd Asri membangunkan kaedah bersistem yang lebih cekap termasuk mampu mengurangkan kos operasi.

“Saya gunakan pendekatan ejen jualan yang khusus buat pemasaran dan wujudkan pusat pengumpulan serta pengedaran, manakala ayah sebagai pekebun pula hanya fokus dalam pengeluaran.

“Selain itu, saya juga menggunakan media sosial sebagai medium pemasaran termasuk promosi berikutan teknologi maklumat dan komunikasi memainkan peranan penting dalam kehidupan seharian seiring peredaran zaman,” katanya.

Kaedah berkenaan berjalan lancar dan banyak membantu bapanya memasarkan mempelam harumanis dengan lebih baik, manakala buah yang segar dapat disampaikan kepada pelanggan.

Melihat kaedah itu dapat membantu pekebun lain, Mohd Asri kemudian menubuhkan Koperasi Pengusaha Harumanis Y.A pada 2016.

“Koperasi itu terdiri daripada 60 pekebun dan 20 ejen jualan memusat kepada tiga bahagian iaitu pengeluaran membabitkan pekebun, pusat pengumpulan diuruskan koperasi dan pengedaran yang dilakukan ejen jualan.

“Setiap bahagian fokus kepada peranan masing-masing membolehkan operasi dilakukan dengan cekap dan menjimatkan kos berbanding sebelum ini apabila pekebun terpaksa membuat sendiri pemasaran dan pengedaran,” katanya.

Susulan kejayaan Mohd Asri dalam industri harumanis, tiga adik Mohd Zaki, 43, Mohd Taquddin, 40 dan Mohd Ridzuan, 37, turut mengikut jejak langkahnya.

Koperasi itu turut mewujudkan Pusat Jualan Yusof Awang di Kampung Baru Panggas, Chuping, yang memberi peluang masyarakat luar negeri ini menikmati program secara santai di ladang sambil menikmati menu inovasi mempelam harumanis dan Perlis Sunshine.

ANGGOTA koperasi bersama pengasas, Yusoff (duduk depan dua dari kiri) dan hasil mempelam.
ANGGOTA koperasi bersama pengasas, Yusoff (duduk depan dua dari kiri) dan hasil mempelam.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 Julai 2018 @ 1:00 AM