JAMAL Harizan (kiri) dan Abdul menunjukkan konsep pertanian bandar dalam bangunan.
JAMAL Harizan (kiri) dan Abdul menunjukkan konsep pertanian bandar dalam bangunan.
Mohamad Hussin

Jabatan pertanian (DOA) memerlukan satu perubahan yang radikal dengan segera dalam penyampaian perkhidmatan supaya pembangunan pertanian akan terus mampan dalam jangka masa panjang.

Malah, ia mampu dinikmati setiap rakyat dan membolehkan Malaysia mencapai status negara berpendapatan tinggi.

Selaras dengan objektif Dasar Agromakanan Negara (DAN), DOA perlu memastikan jaminan makanan di mana bekalannya sentiasa mencukupi selain harga berpatutan.

Ketua Pengarah Pertanian Datuk Jamal Harizan Yang Razali berkata, di samping jaminan, keselamatan makanan juga diberi penekanan dan keutamaan di sepanjang rantaian bekalan.

Beliau berkata, perubahan gaya hidup masyarakat kini lebih cenderung dalam memilih makanan yang berkualiti dan selamat dimakan.

“Dalam hal ini, DOA bertanggungjawab untuk memastikan pengeluaran tanaman makanan yang dihasilkan berkualiti dan selamat dimakan menerusi pensijilan myGAP dan myOrganic di ladang.

“Secara purata, kita makan tiga kali setiap hari. Setiap makanan tersedia untuk dimakan mempunyai penceritaan yang tersendiri dan sangat menarik untuk diterokai.

“Ia bermula daripada penyediaan kawasan, menanam benih, benih bercambah, berbunga seterusnya menjadi buah-buahan atau sayur-sayuran yang kita makan dalam bentuk segar atau diproses,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis sesi ‘tweet up’ DOA bersama media sempena 100 hari menerajui DOA sebagai Ketua Pengarah Pertanian di Wisma Tani, Putrajaya, baru-baru ini.

Hadir sama, Timbalan Ketua Pengarah Pertanian (Operasi), Abdul Daut.

Jamal Harizan berkata, tempoh berkenaan memberi ruang kepada beliau untuk merenung dan bermuhasabah berkenaan perancangan dan pencapaian yang dikecapi DOA berdasarkan pengamatannya selama 35 tahun dalam jabatan berkenaan.

DURIAN dan mempelam harumanis antara sumber kekayaan baru negara.
DURIAN dan mempelam harumanis antara sumber kekayaan baru negara.

“Apa yang boleh saya katakan ialah mengimbau kejayaan lalu dan membina kekayaan baru. Ketika Majlis Amanat Tahun Baru 2018 pada 23 Januari lalu, saya sudah menekankan kepada semua warga DOA bahawa jabatan ini adalah Jabatan Untuk Rakyat, Anda Kami Utamakan.

“DOA dilihat begitu dekat dengan rakyat kerana kita sentiasa mendampingi golongan petani yang mengeluarkan tanaman makanan untuk kita.

“Segalanya bermula dengan titik peluh petani dan di situlah DOA memainkan peranan penting untuk membantu petani dengan kepakaran teknikal bagi memastikan produk yang dihasilkan berkualiti serta selamat untuk dimakan,” katanya.

Menurutnya, melalui seni kulinari, bahan segar tadi diolah dan dipersembahkan dengan lebih menarik yang akan meningkatkan nilai tambah produk berkenaan.

“Bermula dengan titik peluh petani dan di situlah DOA memainkan peranan penting untuk membantu petani dengan kepakaran teknikal bagi memastikan produk yang dihasilkan berkualiti dan selamat untuk dimakan,” katanya.

Katanya, beliau berharap DOA menjadikan 2018 sebagai tahun kejayaan dan keberhasilan yang mengagumkan dengan slogan Pertanian Hebat.

“Dalam pelaksanaan projek pertanian, cabaran dalaman yang biasa dihadapi adalah persaingan kawasan atau guna tanah, produktiviti yang masih rendah, perubahan cuaca, peningkatan kos pengeluaran, teknologi, penyelidikan dan pembangunan (R&D).

“Ia termasuk daya saing keusahawanan, sikap, tenaga kerja, pemasaran, ancaman perosak penyakit, keselamatan dan pengurusan air serta saliran.

“Selain itu, perlu juga menghadapi cabaran persekitaran seperti pertambahan penduduk, memenuhi Global Standard, perubahan pembangunan negara dan perubahan diet,” katanya.

KELAPA antara sumber kekayaan baru.
KELAPA antara sumber kekayaan baru.

Fokus Jabatan Pertanian 2018

a. Sumber kekayaan baru

• Durian

• Kelapa

• Jagung bijian

• Rumput napier

b. Projek Pembangunan (Pembangunan lapan kluster tanaman)

• Durian

• Mangga harumanis

• Betik

• Tembikai

• Rambutan

• Pisang

• Tanaman kontan

• Kluster bunga dan tanaman hiasan

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 Mei 2018 @ 11:42 AM