Aniza Zainudin


BAGI mengawal pencahayaan dan haba di dalam rumah, pemilihan langsir yang dihasilkan daripada fabrik berkualiti adalah faktor utama, diikuti rona pilihan peribadi.

Sebagai negara tropika yang panas sepanjang tahun, trend pemilihan material langsir hari ini lebih tertumpu pada jenis ‘blackout’ iaitu yang menggelapkan ruang kerana material dipilih biasanya tebal dan mampu menahan penyusupan cahaya, haba dan bunyi.

Langsir jenis ‘blackout’ bukanlah terlalu asing kerana ia sering menjadi pilihan utama bagi bilik hotel, dewan seminar serta ruang pejabat.

Memiliki ciri yang terbaik, langsir jenis ‘blackout’ ini bukan sahaja memperindahkan ruang bahkan ia dapat menghalang pancaran cahaya dan silau, mengurangkan haba dan gangguan bunyi.

DEKORASI hiasan langsir di Elyza's Home, Seri Kembangan. -Foto Mohd Khairul Helmy
DEKORASI hiasan langsir di Elyza's Home, Seri Kembangan. -Foto Mohd Khairul Helmy

Mempunyai ketebalan dan berat dalam penghasilannya membuatkan tirai kediaman lebih cantik dan kemas apabila digantung di ruang pilihan, terutama ruang tamu.

Gara-gara ketebalan ini juga, pemilihan langsir ‘blackout’ dilihat bertepatan kerana ia menghalang cahaya matahari masuk ke dalam rumah serta pencahayaan dari dalam ke luar rumah.

Menerusi fungsi ini, ia berupaya mengurangkan risiko proses pemudaran perabot kediaman seperti sofa dan katil gara-gara sinaran mentari yang masuk ke dalam rumah.

Tenunan benang rapat dan banyak dalam penghasilan material langsir ‘blackout’ turut meningkatkan kadar kalis bunyi sehingga 40 peratus, sekali gus mengurangkan pencemaran bunyi ke dalam rumah.

LANGSIR jenis ‘blackout’ serlah elemen mewah.
LANGSIR jenis ‘blackout’ serlah elemen mewah.

Lebih terkenal dengan pilihan polos meskipun wujudnya jenis bercorak, langsir ‘blackout’ juga menyerlahkan elemen eksklusif dan mewah kerana ia bertekstur lembut.

Apabila ia digayakan, susunan tirai ‘blackout’ dilihat tidak terlalu keras, sebaliknya lebih beralun.

Mungkin harganya sedikit mahal berbanding langsir jenis lain, namun pelaburan membeli langsir ‘blackout’ adalah pilihan bijak kerana ia tahan lebih lama malah tidak mudah luntur warnanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 Mac 2019 @ 6:00 AM