SENGKUAP merujuk kepada struktur binaan kekal atau separa kekal menjadi penambahan struktur sedia ada, selain mempunyai pelbagai fungsi penting.
Ia bergantung kepada keperluan pemilik kerana ada kalanya sengkuap dibina untuk melengkapkan ruang parkir tambahan, serambi untuk bersantai selain aksesori untuk menonjolkan jasad bangunan.
Melihat kepada kepelbagaian fungsi sengkuap, pemilik perlu membuat pilihan tepat bagi memastikan fungsi struktur itu dapat dioptimumkan.
Menurut pengusaha sengkuap, Hairul Fahmie Asmayadi, 36, masalah sering dihadapi pemilik kediaman berkaitan pemasangan struktur tambahan itu adalah pemilihan rekaan dan material salah serta kekurangan bajet.
"Sengkuap boleh memberi banyak kelebihan dalam peranannya sebagai struktur tambahan andai rekaan dan material digunakan sesuai.
"Dalam kebanyakan kes apabila pemilik kediaman mahu memasang struktur tambahan itu, mereka lebih fokus kepada nilai estetika sehingga terlupa aspek penting iaitu fungsinya.
"Contohnya dalam situasi pemilik menginginkan rekaan sengkuap pergola polikarbonat atau kaca yang lebih kepada cantik dan eksklusif.
"Rekaan itu tidak dapat menahan cahaya matahari dan tidak sesuai untuk kediaman di Malaysia agak panas," katanya.
Cabaran kedua yang ketara dihadapi pemilik kediaman ialah bajet. Pemilik terpaksa bertoleransi dengan rekaan yang sesuai dengan bajet mereka.
"Struktur sengkuap yang cantik dan lebih mewah menelan kos lebih tinggi. Bagi kualiti biasa mereka perlu berpuas hati dengan kualiti yang setara.
"Contohnya mereka perlu terima bumbung dengan kualiti besi nipis dan tidak kalis bunyi kerana kos bumbung kalis bunyi lebih tinggi," katanya.
Tidak dinafikan kos binaan terutama besi memberi cabaran bukan sahaja kepada pengusaha, malah pemilik yang menerima kesan langsung terhadap kenaikan itu.
"Besi kerangka besar biasanya menelan kos lebih tinggi menyuntik reka bentuk mewah pada struktur sengkuap.
"Malah ia memberi makna hayat atau daya tahan struktur lebih kukuh kerana penggunaan material lebih premium.
"Terpulang kepada pemilik untuk merancang atau memilih struktur sesuai dengan keperluan dan bajet mereka," katanya.
Hairul Fahmie menjelaskan, penting pemilik kediaman melakukan tinjauan rekaan sengkuap bagi memahami material dan fungsinya sebelum pemasangan.
"Aspek lain juga perlu diteliti pemilik kediaman adalah kekemasan kerja pertukangan pemasangan sengkuap.
"Jika ada kebocoran perlu diselenggara semula bagi mengelak masalah lebih rumit kesan kerja pemasangan sengkuap yang tidak kemas.
"Sekurang-kurangnya untuk kenal pasti semua faktor terbabit, pemilik perlu ada ilmu asas termasuk pengetahuan material supaya sengkuap diperoleh dapat digunakan sebaiknya," katanya.
Hairul Fahmie berkata, untuk bumbung sahaja ada lebih enam rekaan yang memiliki ciri dan kelebihan tertentu.
Antara jenis bumbung yang ada mengikut gred ketebalan ialah:
1) 'Metal deck' (dek besi) - hanya satu lapisan zink.
2) 'PU foam' (Gabus poliuretana) - bumbung dengan dua lapisan zink dan span yang kalis bunyi.
3) 'PU metal' (Besi poliuretana) - bumbung tiga lapisan terdiri daripada zink span dan siling.
4) Polikarbonat sejenis bumbung plastik yang jernih
5) Panel Komposit Aluminium (ACP) terdiri daripada dua lapisan campuran plastik dan aluminium.
6) Kaca hanya satu lapisan kaca yang tebal dan lutsinar.