KETAHANAN kabinet dapur elemen perlu dititikberatkan.
KETAHANAN kabinet dapur elemen perlu dititikberatkan.
Susunan Aniza Zainudin

Mempunyai ruang dapur yang tampak elegan, eksklusif, teratur dan mengikut cita rasa sendiri antara impian setiap wanita.

Ini kerana dapur antara ruang istimewa buat wanita dalam melaksanakan tanggungjawab sebagai suri rumah yang menyajikan hidangan kegemaran keluarga.

Malah ada juga menjadikan rutin memasak sebagai kaedah melepaskan tekanan di tempat kerja dan memberi kebebasan kepada golongan itu untuk menghasilkan inovasi menu.

Usah dijadikan tahap kemahiran memasak sebagai ukuran penentu sama ada seseorang wanita itu layak mewarnai ruang dapur impian atau sebaliknya.

Kabinet dapur antara kriteria penting bagi memastikan ruang dapur sentiasa kelihatan kemas dan menarik, selain fungsinya sebagai tempat penyimpanan.

Menyentuh perihal kabinet dapur, penting bagi wanita untuk mengenal pasti material bersesuaian menepati fungsi, ketahanan dan kebaikan bahan yang dipilih itu, terutama kabinet pasang siap.

Terdapat beberapa jenis material kabinet pasang siap popular di pasaran termasuk penggunaan kayu padu, campuran kayu terpakai, berlamina, besi tahan karat dan ‘thermofoil.’

Kabinet diperbuat daripada kayu padu seperti kayu nyatuh biasanya digabungkan bersama kayu venir dan papan lapis.

Penggunaan material ini memberi pilihan maksimum kepada wanita untuk menentukan reka bentuk dan warna diinginkan.

Meskipun begitu, kelemahan kabinet kayu padu terletak pada sensitiviti terhadap kelembapan yang membuatkannya mudah mengembang.

PENGGUNAAN material kayu padu mencerminkan ciri-ciri eksotik.
PENGGUNAAN material kayu padu mencerminkan ciri-ciri eksotik.

Kabinet campuran kayu terpakai pula dihasilkan daripada kombinasi jenis kayu terpakai dan bahan kitar semula termasuk buluh dan serbuk kayu nipis.

Ia lebih bersifat mesra alam kerana memanfaatkan bahan kitar semula dan kabinet jenis ini selalunya menelan kos yang agak tinggi.

Kabinet yang menggunakan material berlamina mempunyai permukaan rata dan nipis sememangnya antara jenis kabinet popular dalam kalangan rakyat negara ini.

Antara kelebihannya mempunyai daya ketahanan yang tinggi dan tidak mudah rosak selain harganya juga berpatutan.

Kabinet ‘thermofoil’ pula dihasilkan daripada serat kayu yang dimampatkan namun ia tidak tahan haba.

Justeru, ia tidak sesuai digunakan bagi ruang peralatan panas terutama ketuhar kecuali ia dilapisi kepingan tahan haba.

Sementara kabinet yang menggunakan besi tahan karat dan calar pula memerlukan kos yang mahal sesuai dengan kelebihannya iaitu mudah diselenggara, tahan lama serta nampak bergaya.

Selain daripada faktor pemilihan berdasarkan material, kos perbelanjaan dan tahap ketahanan sesebuah kabinet dapur antara elemen yang perlu dipertimbangkan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 Februari 2018 @ 7:32 AM