TENGKU Zafrul
TENGKU Zafrul

Kuala Lumpur: Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (Miti) akan merangka insentif khas untuk pusat data kecerdasan buatan (AI), kata menterinya Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

Beliau berkata pusat data AI membawa limpahan ekonomi yang amat jelas dan memberangsangkan.

"Pelaburan dalam infrastruktur teknologi termaju dan pusat data AI berupaya menyokong komitmen Kerajaan Madani untuk mempercepatkan agenda transformasi digital negara dalam segenap aspek, di samping melancarkan lagi usaha peralihan kepada ekonomi berpendapatan tinggi.

"Bagi tempoh 2021 - 2023, Malaysia meluluskan pelaburan dalam pusat data dan perkhidmatan awan berjumlah RM114.7 bilion, dengan 2,325 peluang pekerjaan baharu bernilai tinggi dalam bidang kepakaran khusus, seperti saintis data, penganalisis data, jurutera data, penganalisis keselamatan siber dan jurutera rangkaian," katanya, semalam.

Sehubungan itu, katanya, Miti akan memastikan Malaysia kekal sebagai destinasi pelaburan pilihan bagi pusat data AI.

"Majlis Pelaburan Negara telah bersetuju supaya Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) menyediakan kerangka insentif, termasuk penggunaan peralatan cekap tenaga dan air, serta tenaga boleh baharu yang mencukupi bagi memudahkan pelaburan pusat data AI di Malaysia," katanya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini turut menyatakan Malaysia harus bergerak pantas membina ekosistem yang mantap bagi memacu perkembangan dan penggunaan teknologi AI dalam era pasca normal pada masa ini.

Anwar turut menggariskan empat teras ekosistem berkenaan iaitu tadbir urus AI (AI governance) untuk memastikan ekosistem inovasi AI yang sistematik di samping pemangkin AI melalui Malaysia Artificial Intelligence Consortium (MAIC) bagi memastikan penyelarasan dalam bidang pendidikan, pembangunan dan aplikasi AI.

Selain itu pembangunan industri AI melalui kerjasama dengan syarikat multinasional dan keempat, bakat AI yang merangkumi profesional dan individu berkemahiran melalui program pendidikan dan latihan serta kerjasama industri dengan akademia.

Beberapa gergasi teknologi juga telah menyatakan komitmen mereka di Malaysia seperti pelaburan Google bernilai RM9.4 bilion (AS$2 bilion) untuk menempatkan pusat data Google dan wilayah awan Google pertama di Malaysia.

Malaysia akan menyertai cloud region atau wilayah awan bersama 40 wilayah dan 121 zon yang kini beroperasi di seluruh dunia untuk memenuhi permintaan yang semakin meningkat untuk perkhidmatan awan di peringkat tempatan dan global.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Jun 2024 @ 7:02 AM