GAMBAR fail, sekadar hiasan. FOTO Reuters
GAMBAR fail, sekadar hiasan. FOTO Reuters
BERNAMA

Kuala Lumpur: Malaysia berada di tempat kedua Asean serta ke-23 dunia dari segi kesediaan kecerdasan buatan (AI), kata CyberSecurity Malaysia yang juga agensi di bawah Kementerian Digital Malaysia.

Pakar Jabatan Forensik Digital CyberSecurity Malaysia Nazri Ahmad Zamani berkata, Malaysia juga bersedia untuk menarik lebih banyak pelaburan teknologi dan berkaitan AI yang akan meningkatkan lagi permintaan terhadap pekerja berkemahiran di masa depan seperti pusat data.

Beliau berkata, berdasarkan kajian Oxford Insights bagi 2023, kesediaan kerajaan Malaysia adalah pada tahap 79.99 peratus manakala kesediaan infrastruktur data pula pada 72 peratus dan kesediaan AI pada 68.71 peratus.

"Seiring usaha Malaysia yang terus meningkatkan inisiatif menjadi hab serantau bagi pengkomputeran awan dan teknologi berkaitan seperti AI generatif, negara ini telah mengukuhkan lagi kedudukannya di tempat kedua di peringkat Asean dari segi kesediaan AI," katanya kepada Bernama bersempena acara kemegahan Palo Alto Networks, Ignite on Tour, di sini, baru-baru ini.

Mengikut kajian itu, Malaysia mendahului negara Asean lain, kecuali Singapura dan kedudukan negara ini turut meningkat ke tempat 23 tahun ini daripada ke-29 pada 2022 dengan mencapai skor lebih baik dalam semua kategori.

Mohamed Nazri berkata sejajar dengan pencapaian itu, Malaysia berjaya menarik pelaburan daripada syarikat terkemuka seperti Google, Microsoft dan Amazon Web Services (AWS), sekali gus membuktikan negara sememangnya berada di landasan yang tepat.

Malah, baru-baru ini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Malaysia telah meluluskan pelaburan bernilai RM114.7 bilion dalam pusat data dan perkhidmatan awan bagi tempoh 2021 hingga 2023.

Perdana Menteri berkata pelaburan itu turut mewujudkan sebanyak 2,325 pekerjaan bernilai tinggi dalam bidang khusus seperti saintis data, penganalisis data, jurutera data, penganalisis keselamatan siber dan jurutera rangkaian.

Anwar berkata, kerajaan Madani juga komited untuk membolehkan Malaysia muncul sebagai destinasi pusat data AI yang mampan di Asia Tenggara dan menjadi sebahagian daripada usaha mengukuhkan kedudukan negara sebagai destinasi pelaburan utama global.

Dalam pada itu, mengulas inisiatif bagi meningkatkan pendidikan mengenai AI, Nazri berkata, inisiatif kerajaan memulakan program 'AI Untuk Rakyat' juga menjadi batu loncatan dan memerlukan lebih banyak sokongan bagi kemajuan seterusnya.

"Seiring usaha ke arah masa depan AI, kita perlu mempersiap generasi akan datang mengenainya, tidak hanya di peringkat pengajian tinggi tetapi juga di sekolah rendah dan menengah agar mempunyai bakat untuk menampung permintaan," katanya.

Sementara itu, bertepatan dengan kemajuan AI yang terus ketara, Naib Presiden Serantau Palo Alto Networks bagi Asean, Steven Scheurmann berkata, peranan AI dan pendigitalan yang menjadi satu kemestian dalam keperluan seharian turut mengundang peningkatan ancaman siber di serata dunia yang menyebabkan kerugian kewangan.

"Perbuatan seperti pancing data dan 'ransomware' atau perisian tebusan, adalah ancaman apabila serangan dilakukan oleh bot AI. Penjenayah siber ini boleh menyamar dan membuat jenayah itu dalam masa beberapa minit berbanding sebelum ini.

"Ini adalah masalah global dan kita perlu mula mendidik orang ramai untuk berhati-hati dan tidak mudah percaya apa yang diterima dalam talian," katanya.

Scheurmann berkata, ramai warga emas berulang kali menjadi mangsa kerana amat percayakan semua yang dikongsi dengan mereka yang menjadikan golongan ini paling berisiko.

"Oleh itu, kita perlu terus mendidik mereka mengenai bahaya untuk percaya apa yang diterima seperti arahan klik pada pautan tertentu bagi memastikan mereka tidak menjadi mangsa," katanya.

Selain itu, beliau juga menyifatkan Rang Undang-Undang Keselamatan Siber yang diluluskan pada 27 Mac, 2024, turut menjadi mekanisme dalam melindungi keselamatan dan persekitaran siber Malaysia.

Ia antara lainnya menetapkan entiti dalam sektor Infrastruktur Maklumat Nasional Kritikal (NCII) mematuhi kod amalan, piawaian, langkah serta proses tertentu sewaktu mengendalikan insiden keselamatan siber.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Jun 2024 @ 6:34 PM