BERNAMA

San Francisco: Kerajaan Malaysia dan Google hari ini mengumumkan kerjasama strategik untuk mewujudkan peluang pertumbuhan inklusif kepada lebih ramai rakyat Malaysia dan syarikat tempatan dalam ekonomi digital yang sedang berkembang pesat.

Gandingan kerjasama itu bermatlamat untuk membantu perniagaan dari semua saiz memajukan daya saing digital mereka melalui program kemahiran, pelaburan dalam infrastruktur digital, inovasi kecerdasan buatan (AI) yang bertanggungjawab dan dasar mengutamakan awan, kata Google dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

"Komitmen terbaharu Google ini yang bertujuan untuk mempercepat inovasi tempatan dan pembangunan tenaga kerja dalam bidang AI, pastinya akan meningkatkan daya saing digital negara, selaras dengan Rangka Kerja Ekonomi MADANI dan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030)," kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, hari ini.

Rangka Kerja Ekonomi MADANI Malaysia disasarkan untuk meningkatkan saiz ekonomi Malaysia, serta memastikan semua pihak berkepentingan terutamanya rakyat dan perniagaan kecil dapat menikmati faedah sosio-ekonomi seterusnya, katanya.

Google berkata inisiatif terbaharu itu adalah bersandarkan kepada pelaburannya di Malaysia sejak 12 tahun lepas.

Pada 2022 sahaja, produk dan program syarikat itu menyokong lebih 47,900 pekerjaan dan turut menyumbang sama ada secara langsung dan tidak langsung kepada perniagaan tempatan dengan manfaat ekonomi bernilai kira-kira US$2.8 bilion.

"Perkongsian yang kami umumkan hari ini dengan Kerajaan Malaysia menyelaraskan misi tempatan Google untuk memajukan Malaysia dengan matlamat kerajaan bagi mewujudkan ekosistem yang menyokong inovasi termasuk peluang pekerjaan yang saksama," kata Presiden & Ketua Pegawai Pelaburan, Ketua Pegawai Kewangan, Alphabet dan Google, Ruth Porat.

Sementara itu, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Zafrul Aziz mengalu-alukan sumbangan berterusan Google kepada rakyat Malaysia dan perniagaan tempatan, terutamanya melalui program yang membimbing tenaga kerja mahir dan membantu perniagaan kecil negara berkembang ke peringkat serantau.

"Selain menyokong pencapaian misi NIMP 2030, kerjasama ini juga akan meningkatkan keseluruhan daya saing global Malaysia kepada pelabur asing. Kementerian Pelaburan, Perdagangan & Industri (MITI) dan agensinya, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) akan melakukan yang terbaik untuk memudahkan rancangan pelaburan Google di Malaysia," katanya.

Untuk menyediakan lebih banyak peluang latihan digital kepada rakyat Malaysia dari semua latar belakang, Google Cloud, CloudMile dan Trainocate menyediakan lima kaedah pembelajaran digital tanpa sebarang kos.

"Kaedah pembelajaran itu yang boleh diakses menerusi program Go Cloud yang bertujuan untuk menambah kemahiran 300,000 rakyat Malaysia menjelang 2026 terdiri daripada kursus secara dalam talian untuk membantu individu menggunakan AI generatif (gen AI), analitik data dan alat produktiviti berasaskan awan dengan lebih baik lagi.

Mereka yang melengkapkan lima kaedah pembelajaran akan memperoleh lencana kemahiran digital yang boleh mereka kongsikan dalam resume mereka dan melanjutkan akses 30 hari kepada lebih banyak kaedah pembelajaran tanpa sebarang kos.

Google berkata program ini adalah berasaskan kepada Gemilang, program latihan digital yang telah menyediakan 31,000 biasiswa Sijil Kerjaya Google kepada individu kurang bernasib baik dengan kerjasama institusi pendidikan dan badan bukan keuntungan.

"Ini membantu rakyat Malaysia memperoleh pensijilan profesional—tanpa sebarang kos—untuk pekerjaan peringkat permulaan dalam bidang permintaan tinggi seperti analisis data, sokongan teknologi maklumat (IT) serta e-dagang dan pemasaran digital." katanya.

Selain itu, kerajaan dan Google Cloud akan memulakan inisiatif bersama landas pelancaran AI untuk mencipta pekerjaan baharu, meningkatkan penyampaian perkhidmatan awam dan membantu syarikat tempatan meneroka pasaran global.

Google juga akan menyokong penambahbaikan Dasar Awan Pertama kerajaan yang sedia ada bagi Malaysia, menyumbang kepakaran dasar dan Rangka Kerja AI Terjaminnya untuk bergerak seiring dengan kemajuan terkini dalam pengkomputeran awan dan AI.

Ini mengukuhkan usaha kerajaan untuk mengutamakan penggunaan perkhidmatan awan yang berdaya tahan, cekap kos dan dipacu inovasi berbanding sistem di premis yang berintensif modal, sambil menyelaraskan dengan amalan terbaik global bagi privasi data dan piawaian keselamatan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 November 2023 @ 10:56 AM
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim (lima dari kiri) menyaksikan pertukaran MoU antara Ketua Pegawai Eksekutif Malaysian Investment Development Authority (MIDA) Datuk Wira Arham Abdul Rahman (empat, kiri) dan Ruth Porat (lima, kanan) di sini hari ini. FOTO BERNAMA
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim (lima dari kiri) menyaksikan pertukaran MoU antara Ketua Pegawai Eksekutif Malaysian Investment Development Authority (MIDA) Datuk Wira Arham Abdul Rahman (empat, kiri) dan Ruth Porat (lima, kanan) di sini hari ini. FOTO BERNAMA