LAPORAN portal Harian Metro sebelum ini.
LAPORAN portal Harian Metro sebelum ini.
Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


Ipoh: Insiden penemuan pergelangan tangan manusia yang terputus di lokasi kebakaran kereta berhampiran Hospital Bahagia Ulu Kinta, Tanjung Rambutan, di sini, hari ini, dipercayai berpunca daripada pergaduhan akibat perebutan kawasan pengedaran dadah.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad, berkata dalam kejadian 11.03 pagi itu, tiga lelaki warga tempatan berusia 26 hingga 30 tahun dilaporkan parah selepas diserang kira-kira 20 individu memakai topeng dan bersenjata.

Menurutnya, kini tiga 'mangsa' itu sedang dirawat di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), di sini.

Katanya, setakat ini polis sudah merakam percakapan tiga individu parah terbabit yang masing-masing mengalami kecederaan hampir putus pergelangan tangan kiri, putus pergelangan tangan kiri dan putus urat tapak tangan kiri susulan insiden pergaduhan itu,

"Rakaman percakapan semua mangsa sudah diambil dan menyatakan mereka diserang kira-kira 20 lelaki tempatan yang memakai topeng serta bersenjatakan kayu dan parang.

"Kejadian pergaduhan sehingga menyebabkan cedera parah itu dipercayai berpunca daripada perebutan kawasan dadah," katanya dalam kenyataan malam ini.

Katanya lagi, bagaimanapun tindakan pantas polis berjaya membuat tangkapan ke atas tiga lelaki berumur antara 23 hingga 37 tahun bagi membantu siasatan dengan ketiga-tiga mereka akan dibawa ke Mahkamah Majistret Ipoh pada esok (Isnin) untuk permohonan reman.

"Polis sedang giat mengesan suspek yang masih bebas. Siasatan kes dijalankan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan dan Seksyen 148 Kanun Keseksaan," katanya.

"Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kes ini diminta tampil memberi keterangan dengan pegawai penyiasat kes, Inspektor Mohamad Syafiq Mohd Ghazali di talian 013-7962051 atau mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan," katanya.

Terdahulu, media melaporkan pergelangan tangan manusia yang sudah terputus ditemukan di tempat insiden kebakaran kereta berhampiran Hospital Bahagia Ulu Kinta, Tanjung Rambutan, hari ini

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 Jun 2024 @ 11:44 PM