TUNKU Alizakri. FOTO Salhani Ibrahim
TUNKU Alizakri. FOTO Salhani Ibrahim
HM Online

BANGI: Krisis antara Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) dan AirAsia Group Bhd (AirAsia) yang berlarutan sejak Disember tahun lalu dijangka dapat diselesaikan menerusi siri pertemuan antara dua syarikat itu bersama Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

KWSP adalah pemegang saham utama MAHB dan Kumpulan AirAsia, dengan memegang masing-masing lebih 10 peratus dan lima peratus daripada syarikat berkenaan.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Wang Simpanan Pekerja KWSP, Tunku Alizakri Alias berkata, pihak AirAsia mengadakan pertemuan dengan pengurus dana pesaraan negara itu pada 19 Februari lalu berhubung pertikaiannya dengan MAHB.

“AirAsia bertemu dengan pihak kami dan seterusnya kami bertemu pihak MAHB dalam masa terdekat ini.

“Sebagai pemegang saham bagi kedua-dua syarikat ini, kami begitu senang mereka mengambil perkara ini dengan positif,” katanya ketika ditemui selepas majlis perasmian Buku Panduan Belanjawanku oleh Menteri Kewangan, Lim Guan Eng di sini semalam.

Krisis antara dua organisasi itu menjadi kebimbangan KWSP kerana ia dikhuatiri akan memberi kesan buruk memandangkan kedua-duanya adalah antara dua kaunter terbesar dalam pasaran tempatan.

Pertikaian yang bermula sejak Disember lalu membabitkan caj perkhidmatan penumpang yang sering menjadi perdebatan antara pengendali lapangan terbang itu dan syarikat penerbangan kos rendah terbabit, dalam media dan media sosial.

MAHB memfailkan tuntutan terhadap AirAsia dan AirAsia X Bhd (AAX) pada Disember tahun lalu berhubung caj perkhidmatan penumpang yang tidak dikutip RM36.1 juta.

AirAsia Bhd memfailkan tuntutan balas lebih RM400 juta terhadap MAHB bagi kerugian dan kerosakan yang dialami oleh AirAsia dan AAX disebabkan gangguan operasi yang didakwa di klia2.

Malah dalam pertemuan antara KWSP dan AirAsia, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Tan Sri Tony Fernandes berkata, kumpulan itu terbuka dan gembira untuk menemui MAHB dan apa yang dikehendaki ialah model kos rendah syarikat itu dihargai.

Menurut Tony, terdapat banyak momentum di lapangan terbang kos rendah, malah turut merasakan pengguna mahu cukai lapangan terbang yang rendah.

Sementara itu, Akta Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) juga menghendaki kedua-dua pihak terlebih dahulu mencari penyelesaian sebelum menggunakan prosiding perundangan lain, sebagai potensi untuk menjimatkan masa dan kos semua pihak yang terbabit, termasuk sistem kehakiman.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Mac 2019 @ 10:00 AM