SEBAHAGIAN besar rakyat negara ini secara amnya mempunyai kapasiti kewangan  terhad, tidak tahu menguruskan wang  selain tiada perancangan atau menabung.
SEBAHAGIAN besar rakyat negara ini secara amnya mempunyai kapasiti kewangan terhad, tidak tahu menguruskan wang selain tiada perancangan atau menabung.

Kuala Lumpur: Majlis Perancangan Kewangan Malaysia (MFPC) menyokong keputusan kerajaan yang tidak berhasrat membenarkan lagi skim pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

MFPC berkata, ia menyokong inisiatif menggalakkan serta penawaran insentif bagi tujuan simpanan jangka panjang menerusi Skim Persaraan Swasta (PRS) yang dapat membantu mengurangkan isu dana persaraan tidak cukup.

Malah, caruman wajib KWSP itu adalah teras dalam jaminan kewangan ahli pada usia tua dengan lebih 14 juta rakyat negara ini bergantung kepada dana persaraan itu sebagai jaminan jaringan persaraan masing-masing.

"Pendekatan menggunakan simpanan KWSP bagi menampung keperluan kecemasan memberi impak serius kerana menyebabkan ahli mengalami kekurangan simpanan ketika usia persaraan selain ketidaktentuan lain seperti kos penjagaan kesihatan.

"Isu simpanan tidak mencukupi misalnya adalah sesuatu yang membimbangkan berikutan median simpanan golongan B40 adalah pada RM1,000. Jika keadaan itu berterusan sehingga tempoh persaraan, mereka hanya ada RM4 sebulan untuk dibelanjakan selama 20 tahun.

"Bagi golongan M40, simpanan RM25,000 itu adalah sekitar RM104 sebulan bagi tempoh sama," katanya dalam kenyataan.

Kaji Selidik Kebangsaan MFPC 2020 mengenai Keupayaan Kewangan dan Penggunaan Perkhidmatan Nasihat Kewangan di Malaysia, mendedahkan sebahagian besar rakyat negara ini secara amnya mempunyai kapasiti kewangan terhad, tidak tahu menguruskan wang masing-masing selain tiada perancangan atau menabung.

Selain itu, tahap literasi kewangan rendah juga menjadi antara punca utama simpanan rendah iaitu sekitar 36 peratus.

"Oleh itu, menyedari cabaran itu, kami berada di barisan hadapan dari segi meningkatkan aspek literasi kewangan dalam kalangan rakyat. Ini turut memaparkan tanggungjawab sosial korporat selain inisiatif kami menangani keperluan meningkatkan aspek pengetahuan kewangan.

"Ini jelas dibuktikan menerusi pelbagai program perancangan kewangan sepanjang tahun yang kami anjurkan tanpa unsur pengkomersialan atau pembayaran yang membabitkan rakyat di segenap peringkat dan latar belakang.

"Pada masa sama, kami amat gembira kerana program terbabit mendapat sambutan baik dengan penyertaan menggalakkan serta memberi manfaat kepada sekurang-kurangnya 500,000 rakyat Malaysia di serata negara sejak dimulakan pada 2007," katanya.

Dalam pada itu, MFPC turut menggesa pihak institusi kewangan bertindak menambah baik aspek perantara kewangan termasuk bank, perunding unit amanah dan ejen insurans dalam pengetahuan dan kemahiran profesional bagi memastikan rakyat mendapat khidmat nasihat perancangan kewangan persaraan yang amat diperlukan.

"Kami yakin inisiatif kolaboratif kami secara kolektif ini memberi manfaat kepada rakyat dari segi mengutamakan keperluan kewangan masa depan yang terjamin serta mengharungi usia persaraan yang tenang tanpa tekanan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 January 2022 @ 7:10 AM