GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Dr Nurul Ashikin Alias

Malaysia sudah melalui pelbagai perubahan bersifat fenomena tidak berbalik yang berupaya menjejaskan struktur ekonominya seperti berlaku peningkatan kos sara hidup dari semasa ke semasa.

Ia ditambah lagi dengan berlaku peningkatan kos pengeluaran bagi suatu barangan yang mendorong kepada peningkatan kadar keberhutangan seseorang individu sehingga mampu untuk mendatangkan ancaman kesejahteraan kepada keadaan kewangan individu terbabit.

Selain itu, kebanyakan individu juga hidup dalam keadaan menanggung hutang, sama ada hutang peribadi, pinjaman perumahan, pinjaman kenderaan dan hutang lain.

Bagaimanapun, ia bukan suatu perkara yang buruk jika pengurusan hutang itu mampu dikawal dengan baik. Apa yang menjadi kerisauan adalah apabila seseorang individu berhutang di luar dari batas kemampuannya.

Disebabkan faktor ini menunjukkan betapa penting literasi kewangan yang tepat diperlukan seseorang individu.

Berdasarkan pemerhatian dalam kalangan belia Malaysia, terdapat jurang dari perspektif kekurangan pengetahuan berkaitan kewangan walaupun ada pelbagai usaha kerajaan dan sektor swasta bagi memantapkan tahap pengetahuan ini.

Keadaan itu dapat dilihat apabila ada segelintir rakyat Malaysia yang tidak mampu membuat keputusan kewangan yang tepat dan bertanggungjawab bagi memastikan kesejahteraan tahap kewangan mereka sendiri.

Pada 2015, ada 76 peratus daripada rakyat Malaysia tidak mampu mengumpulkan sejumlah wang, sekurang-kurangnya RM1,000 bagi kegunaan ketika waktu kecemasan.

Berdasarkan satu kajian pada 2017, mengesyorkan pengukuhan dalam sistem pendidikan berkaitan pengetahuan kewangan perlu dilakukan bermula dari peringkat persekolahan sehingga peringkat pendidikan tertiari di universiti.

Walaupun pada hakikatnya pengetahuan kewangan yang tinggi belum tentu lagi dapat memastikan tingkah laku kewangan yang bertanggungjawab. Namun, sekurang-kurangnya sudah ada usaha bagi memastikan individu mampu melakukan keputusan kewangan yang tepat dan bertanggungjawab.

Seperti yang diketahui, tahap perkembangan literasi kewangan mengalami revolusi dari semasa ke semasa di mana pengetahuan ini adalah sangat penting dalam membantu proses pembuatan keputusan kewangan oleh seseorang individu.

Ini adalah antara usaha dilakukan untuk mencapai kesejahteraan kewangan.

Merujuk kepada takrifan Dewan Bahasa dan Pustaka menyatakan perkataan literasi adalah merujuk kepada kebolehan menulis dan membaca.

Literasi kewangan pula adalah berkaitan pengetahuan menguruskan kewangan. Tahap literasi kewangan yang tinggi dan kukuh didapati akan mempengaruhi seseorang individu membuat keputusan tepat dalam menguruskan kewangan secara berhemah.

Namun begitu, tahap literasi kewangan adalah berbeza bagi setiap individu di mana keadaan ini dipengaruhi beberapa faktor demografi seperti jantina, umur, pendapatan dan kelayakan pendidikan.

Individu dengan literasi kewangan yang tinggi mendorong individu itu menjadi lebih yakin dalam membuat keputusan dalam pengurusan kewangan.

Isu status keberhutangan di Malaysia mampu memberikan kesan membimbangkan kepada golongan dewasa peringkat awal.

Hal ini kerana kadar nisbah hutang isi rumah berada dalam keadaan trend yang semakin meningkat.

Berdasarkan kajian yang dijalankan Asian Institute of Finance pada 2015 melaporkan bahawa ada ramai golongan muda menghadapi tekanan kewangan pada peringkat awal kehidupan mereka kerana majoriti golongan ini mempunyai gaya hidup melebihi kemampuan mereka.

Golongan ini kebiasaannya terperangkap dalam keadaan perbelanjaan berdasarkan emosi.

Pada masa sama, golongan alaf baharu ini juga dikatakan sebagai golongan yang terperangkap dalam gaya hidup digital, di mana keadaan ini mampu menyumbang peningkatan kadar keberhutangan mereka.

Tambahan pula, berdasarkan tempoh yang sudah berlalu ini dapat dilihat ada peningkatan peratusan kemunculan golongan dewasa yang terpaksa berhadapan keadaan muflis.

Berdasarkan laporan dinyatakan Asian Institute of Finance pada 2015, terdapat kebergantungan individu berhutang kepada pinjaman kos-tinggi, pinjaman peribadi serta pinjaman kad kredit.

Pada masa sama, perubahan corak pengguna dan akses kemudahan pinjaman peribadi menyebabkan ramai belia berakhir dengan keadaan muflis kerana mereka kehilangan kendali terhadap kewangan mereka.

Kesimpulannya, adalah penting memberikan pendidikan awal berkaitan literasi kewangan kepada setiap individu terutama bermula dari peringkat kanak-kanak. Bak kata pepatah 'melentur buluh perlulah dari rebungnya'.

Namun, bagi mencapai kejayaan dalam membentuk generasi muda dengan tahap kesedaran tinggi berkaitan literasi kewangan perlu bermula dari usaha dan pengetahuan pengurusan kewangan yang tepat di peringkat generasi ibu bapa lagi.

Jika ibu bapa tidak memainkan peranan penting dalam membentuk generasi muda maka adalah sukar sesebuah negara mencapai masyarakat yang mempunyai tingkat literasi kewangan yang tinggi.


Penulis Felo Penyelidik di Pusat Pengajian Pembangunan Ungku Aziz (UAC), Universiti Malaya (UM)

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Mei 2024 @ 6:00 AM