Foto hiasan NSTP
Foto hiasan NSTP
BERNAMA

Kuala Lumpur: Satu kaji selidik yang dijalankan oleh Zurich Malaysia mendapati satu daripada tiga rakyat Malaysia yang masih bekerja dengan usia perancangan kewangan yang matang antara 25-40 tahun tidak mempunyai sebarang bentuk perlindungan peribadi.

Daripada hasil kaji selidik itu, Zurich Malaysia berkata sebab di sebalik ketiadaan tindakan dalam mendapatkan perlindungan peribadi adalah kerana tanggapan salah serta kekurangan maklumat dan pemahaman.

"Responden merasakan perlindungan yang disediakan majikan adalah mencukupi (21 peratus) dan perlindungan insurans atau takaful bukanlah satu keperluan (14 peratus).

"Persepsi buruk mengenai insurans/takaful (sembilan peratus) juga tidak membantu meyakinkan mereka untuk melabur untuk masa depan mereka sendiri," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya walaupun terdapat pelbagai inisiatif yang dilakukan penyedia insurans dan takaful, 22 peratus responden menyatakan mereka masih tidak mempunyai maklumat yang mencukupi tentang insurans dan takaful.

"Meskipun ini tidak semestinya dijadikan sebab, ia juga boleh menjuruskan kepada kurangnya pemahaman (18 peratus) mengenai kepentingan dan manfaat perlindungan insurans dan takaful," katanya.

Zurich Malaysia berkata hasil kaji selidik turut mendapati pentingnya peranan yang dimainkan oleh ejen insurans dan penasihat takaful dalam berkongsi maklumat dengan masyarakat.

"Ini adalah penting untuk meningkatkan kadar penembusan insurans dan takaful serta mengurangkan jurang perlindungan demi kehidupan yang lebih mampan," tambahnya.

Kaji selidik ini dijalankan pada akhir 2021 bertajuk 'Impak Pandemik Terhadap Perlindungan' yang melibatkan 1,201 responden seluruh negara.

Kumpulan umur 25 hingga 40 tahun dewasa bekerja ini merupakan 41 peratus (491 responden) daripada jumlah keseluruhan saiz sampel, dan 30 peratus daripada kumpulan ini menyatakan bahawa mereka tidak mempunyai sebarang perlindungan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Oktober 2022 @ 5:09 PM