FARHAN (kanan) bersama pemenang Kampus Digital 2.0 kategori IPTA iaitu UiTM Cawangan Terengganu.
FARHAN (kanan) bersama pemenang Kampus Digital 2.0 kategori IPTA iaitu UiTM Cawangan Terengganu.
Oleh Hazwan Faisal Mohamad

PAYMENTS Network Malaysia Sdn Bhd (PayNet) menyasarkan 17 juta transaksi tanpa tunai di institusi pengajian tinggi (IPT) di seluruh negara tahun ini, meningkat 50 peratus berbanding 11.8 juta transaksi tahun lalu.

Pengarah Kanan Paynet, Bahagian Pendigitalan Kerajaan, Firdaus Ghani berkata, pihaknya bercadang untuk memperluaskan inisiatif dikenali sebagai Kampus Digital 3.0 yang pertama kali dilancarkan pada 2019 ke politeknik, institut perguruan dan pusat matrikulasi tahun ini.

"Kita memang mahu menggalakkan pembayaran tanpa tunai di kampus kerana terdapat sejuta lebih yang sedang belajar di universiti dan mereka adalah asas atau dalam golongan umur yang sesuai untuk diberi pendekatan atau ubah cara hidup ke arah pembayaran tanpa tunai," katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran kempen Kampus Digital 3.0 dan penyampaian hadiah kepada universiti yang berjaya mencatat jumlah transaksi tanpa tunai paling tinggi di sini, baru-baru ini.

Yang turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PayNet, Farhan Ahmad dan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Prof Dr Azlinda Azman.

Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Terengganu muncul juara dalam kempen Kampus Digital 2.0, dengan mencapai urus niaga tanpa tunai perkapita tertinggi pada 2023 bagi kategori universiti awam manakala Universiti Teknologi & Inovasi Asia Pasifik (APU) dalam kategori universiti swasta.

Mengulas lanjut, Firdaus berkata, beliau percaya peningkatan IPT yang mengambil bahagian bersama dengan hasilnya, menunjukkan belia di negara ini boleh menyumbang ke arah transformasi digital sektor pendidikan.

"Adalah amat menggalakkan untuk melihat inisiatif ini didorong oleh majlis perwakilan pelajar universiti dan bagaimana mereka menerajui peralihan ini kepada transaksi tanpa tunai dalam institusi pendidikan tempatan.

"PayNet bangga memperkasakan pemimpin masa depan untuk berusaha ke arah ekosistem tanpa tunai yang selamat dan boleh dipercayai.

"Kami mahu supaya pelajar meneruskan amalan tabiat pembayaran digital di luar kampus dalam perjalanan kita ke arah negara tanpa tunai," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 January 2024 @ 7:10 AM