KADAR penembusan yang tinggi dicatatkan di Selangor dan Pulau Pinang  susulan komitmen jitu kerajaan negeri menggalakkan urusan pembayaran dilakukan tanpa tunai.
KADAR penembusan yang tinggi dicatatkan di Selangor dan Pulau Pinang susulan komitmen jitu kerajaan negeri menggalakkan urusan pembayaran dilakukan tanpa tunai.
Mahanum Abdul Aziz


Putrajaya: Kadar penembusan pembayaran digital sektor awam di Selangor dan Pulau Pinang mencatatkan pencapaian memberangsangkan apabila mencecah 90 peratus setakat ini, menurut Payments Network Malaysia Sdn Bhd (PayNet).

Pengarah Kanan Pendigitalan Kerajaan PayNet, Firdaus Ghani berkata, kadar penembusan yang tinggi dicatatkan di negeri berkenaan susulan komitmen jitu kerajaan negeri menggalakkan urusan pembayaran dilakukan tanpa tunai.

Beliau berkata, Perlis dan Kedah juga mencatatkan pencapaian memberangsangkan dengan masing-masing mencatatkan kadar penembusan pembayaran digital 60 peratus dan 80 peratus.

Katanya, Perak pula dipercayai mencatatkan kadar penembusan pembayaran digital sektor awam 49 peratus dan Johor menunjukkan kemajuan yang baik dengan lebih 50 peratus.

"Kami bekerjasama dengan Kementerian Kewangan sejak 2019 menjalankan Kempen Cashless Boleh bagi menyokong perkembangan pembayaran digital dalam sektor awam.

"Berdasarkan 20 agensi yang terbabit dengan kami, kadar penembusan pembayaran digital yang dicapai ialah 80 peratus.

"Agensi yang terbabit ini mengutip lebih 70 peratus daripada pendapatan Kerajaan Persekutuan seperti Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN)," katanya ketika ditemui media selepas majlis penyampaian hadiah Kempen Cashless Boleh 3.0 di sini, semalam.

Penyampaian hadiah itu disempurnakan oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) Kementerian Kewangan, Datin Rashidah Mohd Sies.

Di samping itu, PayNet sedang berunding dengan Kementerian Kewangan untuk mendapatkan kelulusan bagi mengadakan Kempen Cashless Boleh 4.0 yang membolehkan ia dimulakan pada Disember depan.

Sementara itu, Rashidah berkata, kerajaan kekal fokus kepada peningkatan kecekapan dan ketelusan dalam sektor awam.

Beliau berkata, kerjasama sektor awam dan sektor swasta penting untuk memajukan agenda pembayaran tanpa tunai negara.

"Peningkatan kecekapan dan kesenangan dinikmati rakyat dari segi masa serta kos apabila berurusan dengan kerajaan tanpa tunai amat ketara," katanya.

Kempen Cashless Boleh 3.0 melakar tiga pencapaian penting iaitu kadar penembusan pembayaran digital sektor awam secara keseluruhan 80 peratus, Kerajaan Negeri Selangor dan Pulau Pinang berjaya melepasi 80 peratus penembusan pembayaran digital dan lapan kementerian dan agensi sektor awam yang sebelum ini berasaskan transaksi tunai telah mencapai penembusan pembayaran digital penuh.

Agensi berkenaan iaitu Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), 155 pihak-pihak berkuasa tempatan (Pihak Berkuasa Tempatan) melalui Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT), Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Perindustrian (Miti), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Majlis Amanah Rakyat (Mara), Mahkamah Persekutuan Malaysia (MPM), Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 Oktober 2023 @ 7:01 AM