GAMBARA hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBARA hiasan. FOTO Arkib NSTP
Sri Ayu Kartika Amri

Kuala Lumpur: Kadar diskaun pedagang (MDR) yang dicaj berdasarkan peratusan nilai transaksi pembayaran melalui DuitNow QR bukan caj baru atau tambahan yang diperkenalkan kepada peniaga.

Payments Network Malaysia Sdn Bhd (PayNet), pengendali DuitNow QR dalam kenyataan berkata, sebagai insentif galakan penggunaan ketika tempoh pengenalan pembayaran QR pada 2019, MDR sudah diketepikan.

Katanya, penepian itu dilanjutkan lagi berikutan penularan wabak Covid-19.

"Ia bukanlah yuran baharu mahupun caj tambahan. Sebaliknya, pada 1 November 2023 adalah permulaan kepada penamatan penepian MDR yang sepatutnya dilakukan lebih sembilan bulan lalu," katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, e-pembayaran yang dibuat oleh pelanggan kepada mana-mana peniaga, MDR yang dicaj adalah berdasarkan peratusan nilai transaksi pembayaran.

"Seorang peniaga akan menerima bayaran yang dibuat oleh pelanggan mereka selepas ditolak MDR.

"Pada masa ini pembayaran kad debit dan kredit dikenakan MDR manakala terdapat penepian (waiver) MDR pada pembayaran QR.

"Mulai 1 November 2023, penepian MDR untuk pembayaran QR DuitNow ini akan ditarik balik," katanya.

PayNet berkata, berkaitan kebimbangan bahawa kos MDR akan dipindahkan kepada pengguna, PayNet ingin menjelaskan pembelian menggunakan kad kredit dan debit sudahpun tertakluk kepada MDR.

Katanya, produk dan perkhidmatan yang dibeli dengan kad kredit atau debit adalah pada harga yang sama dengan pembelian tunai.

"Oleh itu, kami menjangkakan perkara yang serupa dan tidak menjangkakan harga barangan dan perkhidmatan akan terjejas oleh pembelian menggunakan DuitNow QR selepas MDR dikenakan.

"MDR terkumpul akan dikongsi antara PayNet dan bank pemeroleh yang berkaitan atau pemeroleh pihak ketiga.

"Ia adalah untuk menampung penyelenggaraan rangkaian kami serta kos ditanggung oleh bank dan pihak ketiga untuk memperoleh penyertaan peniaga bagi menikmati perkhidmatan yang berharga ini," katanya.

PayNet berkata demikian bagi mengulas berita yang tular baru-baru ini mengenai institusi perbankan tempatan yang memaklumkan pelanggannya mengenai pengenaan yuran transaksi untuk pembayaran DuitNow QR dan transaksi yang dibuat dengan kad kredit berkuat kuasa 1 November 2023.

Katanya, kebimbangan dibangkitkan mengenai kesan yuran yang bakal dikenakan ke atas peniaga dan impak kepada harga barangan dan perkhidmatan boleh difahami, bagaimanapun,

terdapat beberapa kekeliruan yang perlu dijelaskan.

Selain itu, PayNet berkata mengenai isu yuran 50 sen untuk urus niaga melebihi RM5,000 yang dinyatakan dalam laporan, ia sebenarnya untuk pemindahan dana rakan-ke-rakan atau 'peer-to-peer' daripada QR peribadi ke QR peribadi lain, bukan pembayaran kepada peniaga.

"Ini sama sekali tidak berkaitan dengan pembayaran QR kepada pedagang dan kedua-dua yuran tidak akan dikenakan untuk transaksi yang sama dalam apa-apa situasi.

"Dana rizab bakal diwujudkan dengan MDR yang dikutip oleh PayNet untuk memberi insentif kepada pemeroleh supaya tidak mengenakan sebarang MDR kepada peniaga kecil.

"Walaupun PayNet tidak berada dalam kedudukan untuk menentukan harga pasaran yang dikenakan kepada peniaga, beberapa bank pemeroleh dan pemeroleh pihak ketiga berhasrat untuk sama ada terus menangguhkan pengenaan MDR atau menyerapnya untuk peniaga kecil," katanya.

Dalam hal ini, PayNet berkata peniaga perlu menyemak dengan bank atau pemeroleh pihak ketiga mereka untuk perkara ini.

"Caj 50 sen adalah untuk pemindahan dana melebihi RM5,000 menggunakan QR DuitNow peribadi.

"Adalah tidak tepat untuk menyatakan caj 50 sen dikenakan kepada pembayaran yang dibuat kepada peniaga atau menyatakan bahawa MDR dicaj untuk pemindahan dana menggunakan QR peribadi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 September 2023 @ 1:36 PM