SEKTOR yang merekodkan pertambahan pinjaman terbesar adalah kewangan dan runcit.
SEKTOR yang merekodkan pertambahan pinjaman terbesar adalah kewangan dan runcit.

JUMLAH pinjaman sistem perbankan di Malaysia terus meningkat pada November dipacu oleh pembelian hartanah kediaman serta kenderaan.

RHB Research dalam satu nota penyelidikan berkata, pinjaman hartanah pada November melonjak sebanyak 7.0 peratus berbanding bulan sama setahun lalu dan 1.0 peratus berbanding bulan terdahulu, manakala pinjaman kenderaan berkembang 10 peratus tahun ke tahun dan 1.0 peratus bulan ke bulan.

Beliau berkata, sektor yang merekodkan pertambahan pinjaman terbesar pula adalah kewangan dan runcit.

"Pinjaman sistem perbankan naik 4.9 peratus tahun ke tahun dan 0.8 peratus bulan ke bulan, angka paling tinggi sejak Mac 2023 disebabkan pinjaman isi rumah yang stabil dan pinjaman perniagaan selepas merekodkan kenaikan lebih perlahan pada Oktober.

"Kami kekalkan ramalan pertumbuhan pinjaman sistem sebanyak 4.0 hingga 4.5 peratus pada 2023, diikuti dengan ramalan yang lebih tinggi sedikit iaitu 4.5 hingga 5 peratus pada 2024.

"Ia adalah hasil daripada segmen perniagaan ekoran kegiatan ekonomi yang lebih kukuh bank pelaburan itu dalam nota yang disediakan oleh penganalisis, Wan Muhammad Ammar Affan, David Chong dan Nabil Thoo, semalam.

Katanya, dalam masa sama terdapat permintaan yang lebih tinggi untuk pemberian pinjaman.

Katanya, mengikut purata bergerak tiga bulan (3MMA), permohonan pinjaman sistem meningkat 16 peratus tahun ke tahun, manakala kelulusan pinjaman menaik enam peratus tahun ke tahun.

Pemberian pinjaman pula, katanya naik 7.0 peratus berbanding setahun sebelumnya.

Katanya, kenaikan jumlah permohonan pinjaman dipacu oleh segmen perniagaan, yang mencatatkan peningkatan sebanyak 22 peratus dalam tempoh setahun.

"Kualiti aset bertambah baik dengan nisbah pinjaman terjejas kasar (GIL) yang lebih rendah sedikit dan liputan kerugian pinjaman (LLC) meningkat, manakala nisbah akaun semasa dan akaun simpanan (CASA) juga mencatat angka lebih tinggi berbanding bulan sebelumnya kerana pertumbuhan deposit tetap (FD) masih mendatar," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 January 2024 @ 7:03 AM