BANK Islam. FOTO arkib NSTP
BANK Islam. FOTO arkib NSTP

BANK Islam Malaysia Bhd merekodkan untung bersih sebanyak RM118.1 juta bagi suku pertama berakhir 31 Mac 2023, meningkat 11.5 peratus berbanding tempoh sama pada 2022.

Pendapatan pada suku itu meningkat 42.6 peratus kepada RM1.10 bilion berbanding RM774.0 juta sebelum ini.

Pengukuhan pendapatan bersih kumpulan disumbangkan oleh peningkatan pendapatan bukan berasaskan dana yang mengukuh RM60.0 juta atau 132.4 peratus dipacu pendapatan pelaburan serta laba bersih lebih tinggi daripada transaksi pertukaran asing.

Prestasi lebih baik itu diterjemah kepada perolehan sesaham bernilai 5.33 sen dan pulangan ekuiti bersih tahunan sebanyak 7.0 peratus.

Pembiayaan kasar naik 10.7 peratus tahun ke tahun kepada RM66.2 bilion, sementara akaun deposit dan pelaburan pelanggan berada pada RM77.8 bilion dengan kenaikan sebanyak RM9.7 bilion atau 14.3 peratus.

Sebahagian besar kenaikan itu disumbangkan oleh pertumbuhan tahun ke tahun lebih baik sebanyak 25.9 peratus atau RM6.8 bilion dalam jumlah akaun semasa, simpanan dan pelaburan (CASATIA) untuk berada pada RM33 bilion.

Nisbah modal kumpulan pula kekal teguh pada 21.2 peratus.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Bank Islam, Mohd Muazzam Mohamed berkata, setakat akhir Mac 2023, jumlah aset Bank Islam berada pada RM92.1 bilion dengan pertumbuhan tahun ke tahun sebanyak 14.4 peratus, dipacu pertumbuhan dalam pembiayaan dan sekuriti pelaburan.

"Kedudukan modal dan kecairan yang sihat juga mencerminkan bahawa momentum pertumbuhan dan asas kami kekal teguh," katanya dalam kenyataan.

Setakat 31 Mac 2023, nisbah pembiayaan terjejas kasar adalah 1.37 peratus dan angka itu kekal lebih baik berbanding purata industri sebanyak 1.75 peratus.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 31 Mei 2023 @ 6:20 AM