GAMBAR fail, Zafrul. FOTO NSTP
GAMBAR fail, Zafrul. FOTO NSTP
Sri Ayu Kartika Amri


Kuala Lumpur: Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Malaysia meningkat sebanyak 3.0 peratus dalam tempoh sembilan bulan pertama 2021 berbanding penguncupan 6.4 peratus dalam tempoh sama tahun lalu.

Prestasi KDNK ini mengambil kira penguncupan sebanyak 4.5 peratus tahun-ke-tahun (YoY) pada suku ketiga 2021 (S3 2021) menggambarkan cabaran yang dihadapi berikutan langkah pembendungan ketat untuk mengekang lonjakan kes baharu disebabkan oleh kemunculan varian Covid-19 membimbangkan (VOC) dan lebih berbahaya.

Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, dari segi prestasi KDNK bulanan, penguncupan yang semakin mengecil kepada 1.1 peratus pada September berbanding 7.6 peratus pada Julai dan 4.7 peratus bagi Ogos lalu, mencerminkan peningkatan dalam aktiviti ekonomi dan sosial.

Beliau berkata, ia susulan momentum Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) yang meningkat, seterusnya membolehkan lebih banyak negeri beralih ke Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN).

"Meskipun berdepan cabaran sepanjang suku ketiga 2021, pelbagai indikator ekonomi utama menunjukkan momentum pemulihan yang kukuh terutamanya apabila negara memasuki suku keempat 2021 dan menuju ke tahun 2022.

"Ini termasuk penambahbaikan dalam pasaran buruh dengan kadar pengangguran berkurang kepada 4.5 peratus pada September serta lonjakan 24.7 peratus dalam eksport dan peningkatan 11.6 peratus dalam nilai jualan sektor pembuatan pada bulan yang sama.

"Tambahan pula, kita menyaksikan peningkatan pada kedua-dua indeks keyakinan perniagaan dan pengguna yang dipantau oleh MIER serta RM12.8 bilion pelaburan langsung asing (FDI) bersih pada suku ketiga 2021 menjadikan jumlah FDI bagi tempoh sembilan bulan pertama tahun ini kepada lebih RM30 bilion," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, dari segi pasaran kewangan Malaysia, sistem perbankan kekal kukuh dengan nisbah perlindungan mudah tunai merekod

154.4 peratus pada September lalu.

Katanya, nisbah pinjaman terjejas kasar dan bersih masing-masing mencatat 1.6 dan 1.0 peratus.

Selain itu, beliau berkata, rizab antarabangsa Malaysia kekal tinggi dengan jumlah sebanyak AS$116.1 bilion pada akhir Oktober lalu, cukup untuk membiayai 8.1 bulan import tertangguh dan bersamaan 1.3 kali hutang luar negeri jangka pendek.

"Pinjaman terkumpul kepada perniagaan meningkat 2.4% pada suku ketiga 2021 disokong oleh kegunaan modal kerja yang tinggi.

"Peningkatan ini juga didorong oleh subsektor perdagangan borong dan runcit, restoran dan hotel, serta sektor pembuatanberikutan penyambungan semula aktiviti ekonomi yang lebih meluas.

"Dari sudut pasaran modal, FBMKLCI meningkat 2.2 peratus pada suku ketiga 2021 dengan pelabur runcit menyumbang RM11.3 bilion dalam pelaburan bersih," katanya.

Sementara itu, segmen unit amanah menerusi Nilai Aset Bersih meningkat sebanyak 3.5 peratus kepada RM537.9 bilion pada akhir September 2021.

Nilai berkenaan mencakupi hampir 30 peratus daripada jumlah permodalan pasaran Bursa Malaysia.

Sejak Ogos, aliran masuk bersih sebanyak RM3.5 bilion daripada pelabur asing direkodkan.

Pasaran bon ringgit juga menyaksikan peningkatan keyakinan pelabur asing yang ketara terutamanya pegangan asing dalam bon kerajaan Malaysia yang mencatatkan RM231 bilion atau bersamaan 25 peratus daripada jumlah terkumpul bon Kerajaan jangka panjang.

Pasaran sekunder kekal kukuh dan terbitan kerajaan terus disokong dengan purata nisbah bidaan kepada terbitan sebanyak 2.1 kali.

Ekonomi Malaysia berada pada landasan yang tepat ke arah pemulihan, berdasarkan pembukaan semula lebih daripada 90 peratus sektor ekonomi, dan kebanyakan aktiviti sosial.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 November 2021 @ 9:15 PM