Kuala Lumpur: Proton New Energy Technology Sdn Bhd (Pro-Net) melantik cabang pemasaran automotif DRB-HICOM, Edaran Otomobil Nasional Berhad (EON) sebagai pengedar rasmi smart Malaysia.

Kerjasama ini mampu meningkatkan penjenamaan kenderaan elektrik (EV) dalam kalangan pembeli kereta di Malaysia.

Ketua Pegawai Eksekutif Pro-Net, Zhang Qiang berkata, pihaknya yakin dengan pengalaman luas daripada EON serta pelanggan DRB-Hicom yang bakal mewujudkan sinergi ideal yang mampu mendorong wawasan smart Malaysia ke tahap lebih tinggi.

"Kami akan terus bekeriasama dengan rakan kongsi perniagaan yang mempunyai prestasi cemerlang di dalam industri untuk memperkenalkan pelbagai produk, perkhidmatan dan pengalaman jenama premium.

"Dengan kehadiran model terbaharu yang mengujakan, kami yakin mampu memberikan sumbangan yang besar kepada masa depan mobiliti elektrik untuk pasaran Malaysia.

"Pelantikan pengedar yang bereputasi tinggi adalah salah satu strategi utama kami dan beberapa lagi pelantikan pengedar baru smart bakal diumumkan kelak," katanya.

Menurutnya, sebahagian daripada strategi yang dirancang bersama adalah memperkenalkan aplikasi pintar yang membolehkan pelanggan memulakan perjalanan digital dan menikmati perkhidmatan dalam talian daripada mendapatkan maklumat produk sehinggalah kepada membuat pesanan dan pembayaran.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 Mei 2023 @ 7:38 AM