Pusat 3S smart di Shah Alam.
Pusat 3S smart di Shah Alam.
Lizam Ridzuan


Shah Alam: DRB-Hicom menerusi Edaran Otomobil Nasional (EON) sebagai pengedar kenderaan elektrik (EV) smart melaburkan hampir RM4 juta bagi menyediakan pusat jualan servis dan alat ganti (3S) jenama itu.

Ketua Pegawai Eksekutif dan Ketua Pengedaran Automotif DRB-Hicom, Akbar Danial berkata, ruang yang berkeluasan 4,362 kaki persegi di Glenmarie itu lengkap dengan pelbagai kemudahan untuk pelanggan.

"Peranan kami sebagai pengedar 3S adalah untuk memenuhi permintaan yang semakin meningkat untuk model smart #1 yang memberi impak pada pasaran EV tempatan," katanya pada perasmian pusat 3S smart di sini semalam.

Perasmian disempurnakan oleh Ketua Pegawai Operasi Kumpulan dan Perkhidmatan Korporat DRB-HICOM, Datuk Jezilee Mohamad Ramli dan Ketua Pegawai Eksekutif Pro-Net, Zhang Qiang.

Sebagai komitmen untuk menyediakan perkhidmatan EV premium, bilik pameran itu juga boleh memuatkan tiga kenderaan dalam satu masa dan sebuah untuk penghantaran kereta baharu kepada pembeli.

Ia juga dilengkapi kemudahan lain seperti ruang menunggu dan berehat yang luas, kafe, ruang perbincangan, wi-fi dan bilik khas untuk kanak-kanak.

Kawasan perkhidmatan selepas jualan merangkumi 3,716 kaki persegi dengan empat ruang servis, termasuk dua untuk servis dan pembaikan, satu untuk servis voltan tinggi dan satu untuk penjajaran roda.

Ia juga menyediakan lapan tempat letak kereta pelanggan, dua Pengecas Arus Ulang-Alik (AC) 22kW dan satu Pengecas Arus Terus (DC) 60kW.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 November 2023 @ 5:40 PM