Wan Razly pada pelancaran kerjasama antara Affin dan Pro-Net.
Wan Razly pada pelancaran kerjasama antara Affin dan Pro-Net.

Kuala Lumpur: Affin Bank Bhd menjadi rakan kongsi bank eksklusif untuk Proton New Energy Technology Sdn Bhd (Pro-Net) dalam kerjasama strategik bagi menerajui jualan dan pengedaran kenderaan elektrik (EV) smart dan kenderaan tenaga baharu syarikat automotif itu.

Pro-Net ialah anak syarikat milik penuh Proton Holdings Bhd.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Affin Bank Datuk Wan Razly Abdullah berkata, kerjasama itu mengesahkan semula komitmen bank terhadap agenda alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) korporat.

"Kami menjangkakan untuk menyediakan penyelesaian pembiayaan yang disesuaikan bagi memudahkan peralihan kepada kenderaan elektrik untuk pelanggan kami," katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, pelanggan boleh memanfaatkan kepakaran Affin dalam pembiayaan auto dan pihaknya menyasarkan untuk menjadikan kenderaan elektrik lebih mudah diakses.

"Matlamat kami adalah untuk memudahkan proses dan meningkatkan kemampuan, supaya memiliki kenderaan elektrik menjadi realiti yang boleh dicapai untuk semua orang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 Oktober 2023 @ 9:35 AM