AKKBAR
AKKBAR
Bisnes Metro

Kuala Lumpur: Edaran Otomobil Nasional Bhd (EON) melancarkan laman web khusus untuk operasi Proton bagi meluaskan rangkaian pelanggannya.

Ketua Pengedaran Automotif DRB-Hicom dan Ketua Pegawai Eksekutif EON, Akkbar Danial berkata, jenama yang mempunyai kehadiran dalam talian yang menyeluruh bukan saja berpeluang besar memperoleh kejayaan, tetapi menjadi teras kepada proses pembelian kereta masa kini.

"Dengan lebih daripada 80 peratus pembeli kereta di Malaysia menyelidik secara dalam talian sebelum membuat pembelian, ia bertepatan untuk mempunyai sebuah laman web yang boleh berfungsi baik melalui komputer peribadi, telefon pintar dan tablet.

"Direka dengan tumpuan kepada pengalaman pengguna, laman baharu ini menampilkan pelbagai fungsi baharu untuk memudahkan mereka mencari model Proton," katanya dalam kenyataan.

Akkbar juga berkata, EON adalah pengedar terbesar Proton dengan sembilan cawangan di seluruh Malaysia.

"Melalui laman ini, maklumat dan promosi yang paling tepat dan terkini mengenai produk kami boleh dicapai dengan mudah oleh pelanggan semasa dan bakal pelanggan untuk mereka membuat keputusan pembelian kereta yang tepat.

"Kami juga berusaha untuk menawarkan ruang pameran maya bagi pembeli di Malaysia yang berpengetahuan untuk meninjau dan menempah pelbagai jenis model kereta Proton, walaupun jika bilik pameran terpaksa ditutup atas apa-apa alasan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 Ogos 2021 @ 7:02 AM