MODEL smart #1
MODEL smart #1
Lizam Ridzuan


BANYAK pengeluar kenderaan kini mula menawarkan model kenderaan elektrik (EV) sebagai hala tuju ke arah kenderaan mesra alam, berteknologi dan ciri prestasi.

Tidak terkecuali pengeluar kenderaan nasional, Proton yang sudah mula mengorak langkah ke arah mobiliti sifar emisi dengan pengenalan segmen Kenderaan Tenaga Baharu (NEV).

Menerusi anak syarikat mereka Pro-Net, ia akan menjadi pemangkin dalam mengedar serta mengendalikan kenderaan selain enjin pembakaran bahan api (ICE) yang juga adalah pilihan pengguna pada masa hadapan terutama EV.

Malah Proton juga sudah menghantar kakitangannya untuk latihan NEV bersama rakan strategiknya, Zheijiang Geely Holding Group (Geely) di China.

Vroom berkesempatan bertanyakan beberapa soalan akan misi Proton ke arah menjadi pengeluar EV kepada Timbalan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Roslan Abdullah.

1. Apakah hala tuju Proton ke arah menjadi pengeluar kenderaan elektrik (EV)?

Proton akan bermula dengan pengedaran kenderaan smart#1 pada tahun hadapan sebelum mengeluarkan kenderaan EV jenama sendiri dan maklumat lanjut akan dikongsikan pada masa yang sesuai.

Proton sentiasa menyokong semua usaha kerajaan untuk memperkasakan negara ke arah negara bebas karbon menjelang 2050.

2. Apakah teknologi dan penawaran yang disediakan untuk Proton oleh Geely ke arah elektrifikasi?

Kita maklum bahawa di bawah kumpulan Geely, terdapat beberapa jenama Kenderaan Elektrik yang sudah dibangunkan dan Proton akan mengambil manfaat dengan membuat penyelidikan tentang kesesuaian segmen EV yang bersesuaian dengan citarasa, cara hidup dan pemanduan rakyat Malaysia.

3. Di bawah Kenderaan Tenaga Baharu (NEV) Proton menerusi anak syarikat Pro-Net, sebagai pengedar kenderaan SMART apakah hanya sekadar mengedar dan menjual atau ada pertukaran maklumat serta teknologi?

Satu daripada sasaran penubuhan PRO-NET adalah untuk membolehkan pertukaran ilmu dan kepakaran berhubung dengan Kenderaan Tenaga Baharu (NEV) dengan lebih agresif dan sistematik.

Ini tidak hanya terhad kepada produk tetapi juga jualan, servis, teknologi aplikasi digital serta infrastruktur pengecasan.

4. Langkah menghantar pekerja Proton bagi mendalami teknologi NEV di Geely, China sebagai satu langkah yang positif untuk Proton. Adakah akan ada pertambahan lagi pekerja yang dihantar ke sana selepas bac pertama?

Penghantaran pekerja Proton adalah secara berperingkat dan buat masa ini kami tidak menetapkan apa-apa sasaran berhubung jumlah pekerja yang akan dihantar ke China.

Bergantung kepada kelonggaran kuarantin, Proton akan menghantar lebih ramai jurutera ke China.

5. Apakah peranan kakitangan yang terbabit selepas kembalinya dari latihan di China?

Mereka berperanan untuk berkongsi ilmu dan pengetahuan berhubung pembangunan produk dan teknologi serta mengawal selia perancangan bagi pembangunan kenderaan Proton di masa hadapan dan juga memastikan kelancaran pengenalan model smart#1 nanti.

6. Apakah model EV yang kini dalam perancangan Proton?

Pihak Proton akan membuat pengumuman apabila tiba masa yang sesuai.

7. Pro-Net difahamkan akan turut menjual model dan kenderaan NEV Proton, selain jenama SMART. Bagaimana Proton melihat kepada perkembangan anak syarikatnya ini?

Proton dan Pro-Net masih menjalankan analisa pemasaran dan kesesuaian kehendak pengguna dengan jenama model yang boleh di bawa masuk untuk pasaran Malaysia selain Smart.

Ini memberikan kelebihan bagi mengenalpasti produk dan ciri yang diinginkan oleh pengguna serta corak pemasaran yang ideal bagi golongan sasar.

8. Apakah harapan Proton terhadap kerajaan Malaysia untuk model-model EV yang bakal dilancarkan di negara ini?

Proton berharap kerajaan akan dapat menimbangkan lebih banyak insentif untuk membolehkan rakyat lebih mudah memiliki kenderaan elektrik.

Polisi penukaran kenderaan dengan insentif pembelian kenderaan elektrik pasti akan merancakkan lagi peningkatan penggunaan kenderaan EV di Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 Disember 2022 @ 6:44 AM