Timbalan Menteri Kewangan I Datuk Indera Mohd Shahar Abdullah. - FOTO BERNAMA
Timbalan Menteri Kewangan I Datuk Indera Mohd Shahar Abdullah. - FOTO BERNAMA
Hazwan Faisal Mohamad


Putrajaya: Lebih 34,000 kediaman tidak terjual siap dibina bernilai RM21.7 bilion dicatat separuh pertama 2022 (1H22) dengan Johor kekal menjadi penyumbang tertinggi.

Timbalan Menteri Kewangan I, Datuk Indera Mohd Shahar Abdullah berkata, situasi overhang pada tempoh dikaji itu bagaimanapun bertambah baik dengan penurunan marginal bilangan dan nilai setiap satu pada 7.5 peratus dan 4.6 peratus berbanding separuh kedua 2021.

Katanya, hampir 60 peratus daripada kediaman tidak terjual adalah harta tanah kondominium/pangsapuri manakala dari segi lingkungan harga, kira-kira 43 peratus berharga lebih daripada RM500,000 seunit.

"Johor kekal dengan bilangan kediaman overhang tertinggi dalam negara dengan merekodkan lebih 6,000 unit overhang bernilai RM4.7 bilion.

"Negeri ini menyumbang lebih 17 peratus dan 21 peratus setiap satu daripada bilangan dan nilai overhang negara.

"Pulau Pinang pula di kedudukan kedua dengan lebih 5,000 unit bernilai RM3.64 bilion," katanya ketika berucap pada majlis pelancaran Laporan Pasaran Harta Separuh Pertama 2022 di sini, hari ini.

Laporan disediakan Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (NAPIC), agensi di bawah Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH).

Hadir sama, Ketua Pengarah Penilaian dan Perkhidmatan Harta, Sr Abdul Razak Yusak.

Mengulas lanjut Mohd Shahar berkata, status overhang apartment servis juga bertambah baik dengan lebih 22,000 unit bernilai RM19.32 bilion pada 1H22 direkodkan, iaitu penurunan bilangan 6.7 peratus berbanding separuh kedua tahun 2021.

Katanya, hampir 89 peratus daripada jumlah overhang ini berharga RM500,000 dan ke atas dan sebahagian besarnya terletak di Johor.

"Saya berharap situasi overhang kediaman dan apartment servis terus terkawal dan semakin baik pada masa akan datang.

"Ini penting untuk memastikan penawaran perumahan selari dengan permintaan dan isu ketidakpadanan dapat diminimumkan.

"Saya menyarankan pemaju dan pihak berkuasa yang meluluskan pembangunan projek serta penetapan harga jualan rumah memberi perhatian kepada data overhang ini.

"Pastikan rumah yang dibina menepati permintaan di lokasi tersebut dengan harga mampu dimiliki oleh pembeli setempat," katanya.

Tambahnya, NAPIC telah membangunkan portal UPESM (Unsold Property Enquiry System Malaysia) sejak 2018 yang memberikan akses secara percuma kepada data harta tanah tidak terjual mengikut lokaliti pihak berkuasa tempatan (PBT).

"Terkini, portal ini merekodkan jumlah kunjungan hampir 17,000 pengunjung. Saya menyeru kepada semua pihak berkepentingan untuk mengakses UPESM dan rujuklah data ini sebelum merancang pembangunan baharu di sesuatu kawasan.

"Jalankan kajian kebolehlaksanaan yang menyeluruh supaya keputusan yang dibuat adalah tepat dan tidak menyumbang kepada stok kediaman tidak terjual negara pada masa hadapan," katanya.

Dalam pada itu, menurutnya, pasaran hartanah tempatan mencatat lebih 188,000 transaksi bernilai RM84.4 bilion pada 1H22, peningkatan lebih 30 peratus dalam bilangan dan nilai berbanding tempoh sama tahun lalu.

Katanya, semua subsektor harta tanah iaitu kediaman, perdagangan, industri, pertanian dan tanah pembangunan mencatat peningkatan aktiviti transaksi pada 1H22.

Dalam laporan itu, sektor harta tanah kediaman merekodkan 116,178 transaksi bernilai RM45.62 bilion dalam tempoh kajian, meningkat 26.3 peratus dalam bilangan dan 32.2 peratus nilai dari tahun ke tahun.

Empat negeri utama iaitu Pulau Pinang, Kuala Lumpur, Johor dan Selangor membentuk kira-kira 47 peratus daripada jumlah keseluruhan kediaman nasional.

Segmen harta tanah komersial merekodkan 15,169 transaksi bernilai RM14.02 bilion, meningkatkan 45.4 peratus dalam bilangan dan 28.3 peratus dalam nilai berbanding tempoh sama tahun lalu.

Selangor menyumbang bilangan dan nilai yang tinggi kepada syer pasaran nasional dengan 26.5 peratus dalam bilangan (4,025 transaksi) dan 33.5 peratus dalam nilai (RM4.7 bilion).

Dalam pada itu Mohd Shahar berkata, walaupun aktiviti pasaran melihat trend yang positif, segmen pelancaran kediaman baharu masih memperlihatkan sentimen berhati-hati.

"Lebih 10,000 unit baharu dilancarkan pada tempoh kajian, berbanding lebih 31,000 unit tahun lalu dan prestasi jualan purata negara adalah pada kadar 20.3 peratus," katanya.

Menurut laporan NAPIC, Johor mencatatkan pelancaran baharu tertinggi di negara ini, menguasai hampir 23.8 peratus (2,509 unit) daripada jumlah nasional dengan prestasi jualan 31.8 peratus.

Sabah mencatatkan jumlah kedua tertinggi (1,335 unit, 12.7 peratus syer) dengan prestasi jualan pada 10.6 peratus diikuti Perak di tempat ketiga (1,317 unit, 12.5 peratus syer) dengan prestasi jualan 19.4 peratus.

Rumah teres mendominasi pelancaran baharu dengan teres satu tingkat (2,047 unit) dan 2-3 tingkat (5,150 unit) secara kolektif menyumbang 68.2 peratus daripada jumlah keseluruhan dengan prestasi jualan 22 peratus, diikuti oleh unit kondominium/pangsapuri dengan 19 peratus syer (2,009 unit) dengan prestasi jualan 12.4 peratus.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 September 2022 @ 2:19 PM