MUHAMMAD Hifzhan selepas menjalani sesi temu duga IPG dalam Kursus Bahasa Melayu Pendidikan Rendah (SK) di kuala lumpur baru baru ini. FOTO Ihsan Muhammad Hifzhan.
MUHAMMAD Hifzhan selepas menjalani sesi temu duga IPG dalam Kursus Bahasa Melayu Pendidikan Rendah (SK) di kuala lumpur baru baru ini. FOTO Ihsan Muhammad Hifzhan.
Siti Norhidayah Mohd Yunus


Kuala Lumpur: Berada di kelas paling terakhir daripada sembilan kelas bukanlah alasan untuk tidak mendapatkan keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dengan cemerlang.

Itu dibuktikan pelajar lepasan SPM, Muhammad Hifzhan Fahmifaizal, 18, yang berjaya memperoleh keputusan 6A 2B dalam SPM, dan memperoleh tawaran menyambungkan pelajaran di Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPG) baru-baru ini.

Muhammad Hifzhan berkata, kejayaan diperoleh itu tidak disangka kerana berada dalam kelas terakhir daripada sembilan kelas.

Katanya, segelintir pelajar di sekolahnya memandang 'serong' dengan pelajar di kelas terakhir kerana beranggapan tidak mempunyai masa depan yang cerah.

"Disebabkan itu, saya mahu membuktikan kepada mereka kejayaan seseorang individu bukan diukur berdasarkan kelasnya tetapi usaha yang dicurahkan.

"Saya bersyukur segala usaha saya menumpukan perhatian semasa guru mengajar di dalam kelas, mengulangkaji pelajaran, serta menghadiri kelas tambahan membuahkan hasil yang lumayan," katanya.

Ditanya mengenai sokongan guru di sekolahnya, Muhammad Hifzhan berkata, guru tidak pernah membezakan pelajar di kelas hadapan atau kelas terakhir dari segi pembelajaran di kelas, pembahagian kerja sekolah serta kelas tambahan.

"Sokongan mental dan fizikal daripada guru di sekolah sangat positif membuatkan saya terus fokus belajar sehingga berjaya memperoleh keputusan yang baik untuk SPM," katanya.

Katanya, dia akan melanjutkan pelajaran di IPG dalam kursus Bahasa Melayu Pendidikan Rendah (SK).

"Saya sudah menjalani sesi temu duga di IPG dalam kursus itu dua minggu lalu.

"Menjadi guru Bahasa Melayu adalah pekerjaan yang saya impikan sejak dari bangku sekolah lagi. Saya berharap ia akan menjadi realiti satu hari nanti," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Julai 2024 @ 5:14 PM