JENAZAH Muhammad Akil Syauqi dituntut ahli keluarga selepas laporan bedah siasat selesai di Hospital Pulau Pinang (HPP). FOTO Zuhainy Zulkiffli​.
JENAZAH Muhammad Akil Syauqi dituntut ahli keluarga selepas laporan bedah siasat selesai di Hospital Pulau Pinang (HPP). FOTO Zuhainy Zulkiffli​.
Zuhainy Zulkiffli


Georgetown: Jenazah Muhammad Akil Syauqi, 3 tahun, kanak-kanak yang maut selepas termakan makanan ringan dipercayai bercampur racun tikus selamat dituntut ahli keluarga selepas laporan bedah siasat.

Jenazah kanak-kanak itu dituntut ibunya, Nurain Hasnorizal, 25, kira - kira jam 4.05 petang tadi bagi urusan pengebumian di Kampung Banggol Berangan, Labu Besar, Kulim, Kedah.

Urusan bedah siasat berkenaan dilakukan di Jabatan Perubatan Forensik Hospital Pulau Pinang (HPP), di sini.

Sementara itu Nurain berkata dia bersyukur kerana urusan penghantaran jenazah pulang dipermudah.

"Urusan penghantaran dilakukan individu yang menguruskan jenazah secara percuma dan Alhamdulillah, Tuhan saja yang dapat balas (kebaikan).

"Saya pulang ke kampung mengiringi jenazah dan akan kembali ke HPP sebaik semuanya selesai bagi mengikuti perkembangan anak bongsu (Muhammad Luth Syauqi)," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Difahamkan, pihak pengurusan van jenazah itu mendapat maklumat mengenai pemergian Muhammad Akil Syauqi di media sosial sebelum menghubungi keluarga mangsa serta menawarkan penghantaran jenazah.

Terdahulu Harian Metro melaporkan Muhammad Akil Syauqi Nur Sufian, 3, menghembus nafas terakhir jam 8.30 pagi tadi di HPP.

Manakala adiknya Muhammad Luth Syauqi, 2, masih dirawat di Unit Rawatan Rapi Pediatrik hospital yang sama.

Media sebelum ini melaporkan dua beradik itu kritikal selepas makan makanan ringan berupa keropok yang dipercayai mengandungi racun tikus di Kampung Padang Ubi, Labu Besar.

Makanan ringan berupa keropok itu digantung pada pagar dawai dikatakan dipasang pemilik kebun, bertujuan menghalau haiwan liar yang mengancam tanamannya.

Kedua-dua kanak-kanak malang berkenaan dikejar ke HPP selepas menerima rawatan di Hospital Kulim.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Julai 2024 @ 5:14 PM