GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
BERNAMA

Tempoh 2022 mencatat perkembangan memberangsangkan bagi sektor hartanah apabila kembali pulih dari segi transaksi dan nilai berbanding 2021, didorong oleh aktiviti ekonomi yang rancak selain pembukaan semula sempadan antarabangsa negara.

Malah, maklumat Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (NAPIC) yang juga agensi di bawah Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH), menunjukkan terdapat lebih daripada 188,000 transaksi bernilai RM84.40 bilion direkodkan bagi separuh pertama 2022 - peningkatan melebihi 30 peratus dari segi bilangan serta nilai berbanding tempoh sama sebelum ini.

Sektor hartanah kediaman misalnya merekodkan sejumlah 116,178 transaksi bernilai RM45.62 bilion dalam tempoh tersebut iaitu peningkatan masing-masing 26.3 peratus bilangan serta 32.2 peratus nilainya bagi tahun ke tahun.

Penyumbang utama sektor terbabit adalah Pulau Pinang, Kuala Lumpur, Johor serta Selangor yang mewakili 47 peratus daripada keseluruhan jumlah kediaman negara.

Segmen hartanah komersial mencatatkan sebanyak 15,169 transaksi bernilai RM14.02 bilion, melonjak 45.4 peratus dari segi bilangan serta 28.3 peratus nilai berbanding tempoh sama pada 2021.

Selangor muncul penyumbang tertinggi bilangan dan nilai bagi bahagian pasaran negara iaitu masing-masing bilangan sebanyak 26.5 peratus (4,025 transaksi) dan nilai 33.5 peratus (RM4.70 bilion).

Bagi tempoh separuh pertama 2022, lebih daripada 10,000 unit baharu telah dilancarkan namun berkurangan sebanyak 66.7 peratus berbanding 31,687 unit pada separuh pertama 2021.

NAPIC berkata 20.3 peratus daripada unit baharu itu berjaya dijual, susut sedikit daripada 20.6 peratus yang dicatat pada separuh pertama 2021 serta 8.1 peratus dalam separuh kedua 2021.

Namun, di sebalik deretan angka serta pencapaiannya, tidak bermakna sektor hartanah ini tidak terkecuali daripada cabaran, khususnya dari segi operasi.

Sepertimana diakui oleh Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (Rehda), industri tersebut masih bergelut dengan cabaran seperti kenaikan harga bahan binaan dan kekurangan tenaga kerja yang jelas menjejaskan produktiviti sektor hartanah dan pembinaan.

Dapatan Kaji Selidik Industri Hartanah Rehda bagi separuh pertama 2022 dan Prospek Pasaran bagi separuh kedua 2022 dan separuh pertama 2023 menunjukkan tidak banyak unit kediaman dilancarkan pada separuh pertama tahun ini iaitu susut 26 peratus berbanding separuh kedua 2021.

Bukan setakat itu, prestasi jualan juga susut lima mata peratusan daripada 50 peratus dalam separuh kedua 2021 kepada 45 peratus dalam tempoh di bawah kajian itu, sebagaimana dicatatkan kaji selidik yang membabitkan 150 pemaju.

"Rehda telah memaklumkan kepada kerajaan untuk menangani isu-isu terbabit kerana keadaan semasa ini boleh memberi kesan buruk di pelbagai peringkat, termasuk pembeli.

"Sekiranya ini dapat ditangani, kami percaya separuh kedua 2023 bakal menyaksikan keadaan lebih baik untuk industri serta negara ini secara keseluruhannya," kata Rehda kepada Bernama.

Menurut persatuan itu, pasaran hartanah, terutama perumahan sepatutnya lebih positif pada tahun depan berikutan perkembangan pemulihan ekonomi global dan tempatan selain pembukaan ekonomi yang lebih pantas pada pasca-pandemik.

Pada masa sama, Rehda akan terus melakukan libat urus dengan kerajaan Persekutuan dan negeri bagi membincangkan isu perumahan yang akan memberi manfaat kepada rakyat dan sejajar dengan komitmennya bagi pembangunan negara.

Kumpulan teknologi hartanah Juwai IQI pula menyifatkan aspek teknologi dan pendigitalan telah membolehkannya untuk mampu menjangkau lebih ramai pelanggan.

Pengasas Bersama merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Kashif Ansari berkata jualan baharu kumpulan itu meningkat 60-70 peratus berbanding 2021 dengan kalangan pembeli berminat mendapatkan hartanah lebih besar yang disifatkan beliau sebagai aliran baharu.

"Sebuah rumah itu tidak lagi dilihat sebagai tempat berlindung semata-mata tetapi turut berperanan sebagai tempat gimnasium dan pejabat. Oleh itu, terdapat permintaan untuk kediaman dengan ruang lebih banyak sebagai persiapan menghadapi sebarang kemungkinan di masa depan," katanya.

Malah, sebahagian besar golongan generasi Y dan Z juga mahu memiliki kediaman sendiri berbanding tinggal berkongsi unit kerana lebih mahukan privasi, kata Kashif.

Mengulas faktor luaran yang boleh menjejaskan sektor itu, beliau berkata: "Walaupun kenaikan kadar faedah Amerika Syarikat (AS) telah perlahan, kita sebaliknya tidak melihat keadaan sama di seluruh dunia. Di AS misalnya, biar pun kadar faedah meningkat (pada kadar lebih perlahan), sektor hartanah hanya melihat pembetulan harga dalam julat 5-10 peratus yang masih boleh diurus.

"Ini berikutan institusi kewangan dan individu telah peka dan belajar daripada krisis gadai janji subprima, menyebabkan mereka lebih berhati-hati dalam memberi pinjaman dan pembiayaan," kata Kashif.

Krisis tersebut berpunca daripada langkah pengembangan kredit gadai janji yang lebih awal, termasuk kepada peminjam yang sebelum ini mengalami kesukaran mendapatkan kemudahan itu.

Pemberian kredit yang mudah dan secara meluas itu menjadi punca kepada peningkatan ketara harga rumah di Amerika Syarikat.

Dalam pada itu, faktor pendorong sektor hartanah adalah peralihan dalam mata wang digital dan pasaran ekuiti yang mana selepas kitaran empat hingga lima tahun akan menyaksikan kehadiran semula pelabur yang melihat sektor berkenaan sebagai pilihan pelaburan lebih selamat.

Beliau berkata, ini berikutan hartanah merupakan aset sebenar serta lebih terjamin pemilikannya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Disember 2022 @ 5:59 AM