HARTANAH daripada jenis kondominium dan apartmen dominasi bilangan unit kediaman siap dibina tidak terjual.
HARTANAH daripada jenis kondominium dan apartmen dominasi bilangan unit kediaman siap dibina tidak terjual.
Sofyan Rizal Ishak


UNIT kediaman siap dibina tidak terjual di negara ini didapati mencatatkan peningkatan bagi tempoh separuh pertama tahun ini namun pada kadar lebih rendah berbanding tahun sebelumnya.

Laporan pasaran harta tanah bagi separuh pertama 2019 (H1 2019) dikeluarkan Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan (JPPH) mendedahkan terdapat 32,810 unit kediaman siap dibina tidak terjual bagi tempoh masa itu dengan nilai RM19.76 bilion.

Daripada aspek bilangan unit, ia menyaksikan peningkatan 1.5 peratus berbanding 32,313 unit pada separuh kedua 2018 namun mencatatkan penurunan nilai sebanyak 0.5 peratus kepada RM19.86 bilion.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Wira Amiruddin Hamzah berkata, hartanah daripada jenis kondominium dan apartmen mendominasi bilangan keseluruhan unit kediaman siap dibina tidak terjual iaitu sebanyak 43 peratus dengan sebahagian besar membabitkan hartanah bernilai antara RM200,000 hingga RM300,000.

“Unit kondominium dan apartmen tidak dijual serta dikategorikan sebagai hartanah mampu milik ini banyak disumbang melalui hartanah di dua negeri iaitu Perak dan Kedah,” katanya pada sidang media selepas taklimat pasaran harta tanah H1 2019 JPPH di sini, baru-baru ini.

Sementara itu, data JPPH juga menunjukkan terdapat penurunan dalam bilangan pelancaran baharu hartanah kediaman di mana 23,591 unit baharu direkodkan pada H1 2019 dengan prestasi jualan yang sederhana mencecah 31 peratus.

“Jumlah ini berkurangan hampir separuh iaitu kepada 49.4 peratus lebih rendah jika dibandingkan dengan tempoh sama tahun lalu.” katanya.

Perak mencatatkan pelancaran baharu tertinggi dengan 4,557 unit membabitkan hampir 20 peratus daripada jumlah peringkat kebangsaan, diikuti Johor (4,233 unit), Pulau Pinang (3,216 unit), Kuala Lumpur (2,565 unit) dan Selangor (2,387 unit).

Berdasarkan jenis hartanah, rumah teres menguasai pelancaran baharu dengan 5,340 unit rumah teres satu tingkat dan 6,449 unit bagi rumah teres dua hingga tiga tingkat di mana kedua-duanya menyumbang 50 peratus daripada jumlah unit diikuti kondominium dan pangsapuri sebanyak

35 peratus atau 8,312 unit.

Dalam perkembangan sama, unit kedai siap dibina tidak terjual juga terus menunjukkan peningkatan sebanyak 13.9 peratus daripada aspek bilangkan kepada 5,760 unit dan 22 peratus dalam aspek nilai kepada RM4.98 bilion bagi H1 2019 berbanding tempoh sama tahun sebelumnya.

Amiruddin berkata, pasaran hartanah Malaysia dijangka kekal berdaya tahan pada separuh kedua tahun ini disokong pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang kukuh pada suku kedua iaitu 4.9 peratus dan beberapa inisiatif didorong kerajaan untuk terus menyokong aktiviti pasaran dalam sektor perumahan.

“Usaha kerajaan untuk memastikan rakyat dapat memiliki rumah akan terus dipergiatkan termasuk melalui inisiatif terkini seperti melalui Kempen Pemilikan Rumah (HOC) yang dilancarkan tahun ini.

“Perangkaan daripada Jabatan Perumahan Negara juga menunjukkan bahawa setakat ini lebih 8,000 unit kediaman bernilai kira-kira RM6.0 bilion telah terjual,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 September 2019 @ 10:22 AM