SEKTOR hartanah kediaman  merekodkan sejumlah 116,178 transaksi bernilai RM45.62 bilion dalam tempoh separuh pertama 2022.
SEKTOR hartanah kediaman merekodkan sejumlah 116,178 transaksi bernilai RM45.62 bilion dalam tempoh separuh pertama 2022.

TEMPOH 2022 mencatat perkembangan memberangsangkan bagi sektor hartanah apabila kembali pulih dari segi transaksi dan nilai berbanding 2021, didorong oleh aktiviti ekonomi yang rancak selain pembukaan semula sempadan antarabangsa negara.

Maklumat Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (Napic) yang juga agensi di bawah Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH), menunjukkan terdapat lebih daripada 188,000 transaksi bernilai RM84.40 bilion direkodkan bagi separuh pertama 2022.

Ia peningkatan melebihi 30 peratus dari segi bilangan serta nilai berbanding tempoh sama sebelum ini.

Sektor hartanah kediaman misalnya merekodkan sejumlah 116,178 transaksi bernilai RM45.62 bilion dalam tempoh tersebut iaitu peningkatan masing-masing 26.3 peratus bilangan, serta 32.2 peratus nilainya bagi tahun ke tahun.

Penyumbang utama sektor terbabit adalah Pulau Pinang, Kuala Lumpur, Johor serta Selangor yang mewakili 47 peratus daripada keseluruhan jumlah kediaman negara.

Segmen hartanah komersial mencatatkan sebanyak 15,169 transaksi bernilai RM14.02 bilion, melonjak 45.4 peratus dari segi bilangan serta 28.3 peratus nilai berbanding tempoh sama pada 2021.

Selangor muncul penyumbang tertinggi bilangan dan nilai bagi bahagian pasaran negara iaitu masing-masing bilangan sebanyak 26.5 peratus (4,025 transaksi) dan nilai 33.5 peratus (RM4.70 bilion).

Bagi tempoh separuh pertama 2022, lebih daripada 10,000 unit baharu dilancarkan, namun berkurangan sebanyak 66.7 peratus berbanding 31,687 unit pada separuh pertama 2021.

Napic berkata, 20.3 peratus daripada unit baharu itu berjaya dijual, susut sedikit daripada 20.6 peratus yang dicatat pada separuh pertama 2021 serta 8.1 peratus dalam separuh kedua 2021.

Namun, di sebalik deretan angka serta pencapaiannya, tidak bermakna sektor hartanah ini tidak terkecuali daripada cabaran, khususnya dari segi operasi.

Sepertimana diakui oleh Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (Rehda), industri ini masih bergelut dengan cabaran seperti kenaikan harga bahan binaan dan kekurangan tenaga kerja yang jelas menjejaskan produktiviti sektor hartanah dan pembinaan.

Dapatan Kaji Selidik Industri Hartanah Rehda bagi separuh pertama 2022 dan Prospek Pasaran bagi separuh kedua 2022 dan separuh pertama 2023 menunjukkan tidak banyak unit kediaman dilancarkan pada separuh pertama tahun ini iaitu susut 26 peratus berbanding separuh kedua 2021.

Bukan setakat itu, prestasi jualan juga susut lima mata peratusan daripada 50 peratus dalam separuh kedua 2021 kepada 45 peratus dalam tempoh di bawah kajian itu, sebagaimana dicatatkan kaji selidik yang membabitkan 150 pemaju.

"Rehda sudah memaklumkan kepada kerajaan untuk menangani isu-isu terbabit kerana keadaan semasa ini boleh memberi kesan buruk di pelbagai peringkat, termasuk pembeli.

"Sekiranya ini dapat ditangani, kami percaya separuh kedua 2023 bakal menyaksikan keadaan lebih baik untuk industri serta negara ini secara keseluruhannya," kata Rehda kepada Bernama.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 Disember 2022 @ 7:00 AM