ABDUL Hakim (tengah) bersama wakil agensi yang menyumbang zakat selepas penyampaian plak penghargaan pada Majlis Pelancaran Kempen Skim Potongan Zakat Bulanan (Skim PZB) 2023. FOTO Aswadi Alias
ABDUL Hakim (tengah) bersama wakil agensi yang menyumbang zakat selepas penyampaian plak penghargaan pada Majlis Pelancaran Kempen Skim Potongan Zakat Bulanan (Skim PZB) 2023. FOTO Aswadi Alias
Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid


Kuala Lumpur: Pusat Pungutan Zakat-Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) memaklumkan berlakunya peningkatan jumlah asnaf sejak berlakunya pandemik Covid-19.

Ketua Pegawai Eksekutif PPZ-MAIWP Abdul Hakim Amir Osman berkata, sebelum pandemik Covid-19, jumlah asnaf di Wilayah Persekutuan hanyalah 20,000 keluarga.

"Tetapi bila berlaku pandemik, ia telah meningkat lebih 30,000 keluarga yang perlu dibantu secara bulanan.

"Sebab itu kami kena kerja kuat bagi mengutip zakat supaya asnaf yang ada ini dapat kita santuni atau biayai keperluan mereka," katanya pada sidang medianya selepas Majlis Pelancaran Kempen Skim Potongan Zakat Bulanan (Skim PZB) 2023 di sini, hari ini.

Abdul Hakim berkata, antara faktor peningkatan jumlah asnaf ini adalah kerana semasa pandemik Covid-19, mereka kehilangan pekerjaan dan majikan terpaksa mengecilkan saiz perniagaan menyebabkan terpaksa membuang pekerja.

Disebabkan pandemik Covid-19 itu juga katanya, ada dalam kalangan T20 dan M40 telah bertukar menjadi B40 serta mereka meminta bantuan zakat akibat faktor itu.

"Dulunya mereka ini mungkin M40 tetapi apabila berlaku pandemik, M40 bertukar menjadi B40. Malah ada T20 boleh jatuh B40.

"Ada dalam kalangan dahulu pembayar zakat (kini) memohon untuk mendapatkan bantuan zakat pula. Itu boleh kita gambarkan bagaimana seriusnya pandemik yang berlaku dalam tempoh tiga tahun lepas," katanya.

Menyentuh mengenai pelancaran kempen Skim PZB 2023, Abdul Hakim berkata, ia bertujuan menggalakkan lebih ramai masyarakat khususnya kakitangan swasta dan kerajaan menzahirkan rasa syukur melalui ibadat zakat.

Beliau berkata, kempen ini akan berlangsung selama lima bulan bermula 1 Julai hingga 31 Disember ini.

"Ia menawarkan pelbagai hadiah menarik sebagai galakan untuk menarik lebih ramai masyarakat khususnya kakitangan swasta dan kerajaan untuk mula dan menambah potongan zakat mereka.

"Selain itu, skim ini juga membantu para majikan untuk mendapatkan wakalah atau pengembalian semula wang zakat untuk dimanfaatkan semula kepada kakitangan yang kurang berkemampuan," katanya.

Pembayar zakat PPZ-MAIWP turut akan dilindungi Skim Kafalah Muzakki atau dikenali sebagai khairat kematian di mana sekiranya berlaku kematian ke atas pembayar, waris boleh menuntut wang sehingga RM3,000 bagi mengurangkan beban.

"Pembayar yang membuat potongan gaji zakat secara bulanan secara automatik layak menerima ini," katanya.

Beliau juga menyeru majikan untuk menggalakkan kakitangan membuat potongan zakat secara bulanan di PPZ-MAIWP.

"Agar melayakkan mendapat Skim Wakalah atau Pengembalian Semula Wang Zakat sehingga 37.5 peratus untuk dimanfaatkan semula kepada kakitangan dan mereka yang memerlukan.

"Semoga kempen ini terus mendapat tempat di hati para pembayar untuk terus istiqamah menunaikan zakat di PPZ-MAIWP di samping dapat membantu demi kelangsungan hidup para asnaf di Wilayah Persekutuan," katanya.

Abdul Hakim turut menyasarkan RM45 juta kutipan zakat diperoleh melalui kempen ini melibatkan seramai 95,000 pembayar zakat.

"Kalau kita lihat tahun lepas kita berjaya mengutip sebanyak RM42.16 juta di mana sasaran kempen pada tahun tersebut sebanyak RM40 juta. (Jadi) tahun ini kita tingkatkan kepada RM45 juta," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Julai 2023 @ 5:16 PM