Ketua Pegawai Eksekutif PPZ-MAIWP, Abdul Hakim Amir Osman  (tiga kiri) pada Majlis Pelancaran Kempen MESRA NIAGA PPZ-MAIWP di Wisma PPZ Taman Shamelin Perkasa. FOTO SAIFULLIZAN TAMADI
Ketua Pegawai Eksekutif PPZ-MAIWP, Abdul Hakim Amir Osman (tiga kiri) pada Majlis Pelancaran Kempen MESRA NIAGA PPZ-MAIWP di Wisma PPZ Taman Shamelin Perkasa. FOTO SAIFULLIZAN TAMADI
Sri Ayu Kartika Amri


Kuala Lumpur: Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-Maiwp) julung kali menganjurkan kempen Mesra Niaga untuk mendekati usahawan mikro dengan menawarkan Pembiayaan Mikro iTekad Maju bermula RM10,000 hingga RM50,000 oleh Bank Islam.

Ketua Pegawai Eksekutif PPZ-Maiwp, Abdul Hakim Amir Osman berkata, kempen Mesra Niaga itu berlangsung selama tiga bulan bermula 24 Julai hingga 24 Oktober 2023 dan terbuka kepada usahawan mikro dengan menawarkan pelbagai kelebihan bagi membantu mengembangkan lagi perniagaan mereka.

"Sesuai dengan konsep hijrah yang membawa maksud perubahan ke arah yang lebih baik, PPZ-Maiwp terus melangkah ke hadapan untuk sentiasa memberi yang terbaik kepada pembayar dan asnaf khususnya di Wilayah Persekutuan.

"Justeru, kami melancarkan Kempen Mesra Niaga PPZ-Maiwp sebagai nilai tambah kepada pembayar zakat perniagaan serta pembayar baharu yang terdiri daripada peniaga, penjaja, dan usahawan berskala sederhana.

"Untuk permulaan kami menyasarkan 500 peniaga akan menyertai Mesra Niaga PPZ-Maiwp dan kempen ini tidak akan berakhir sepanjang tiga bulan, malah ia akan berterusan terutama dengan kerjasama rakan sinergi," katanya kepada media di Majlis Pelancaran Mesra Niaga PPZ-Maiwp di sini, hari ini.

Istimewanya menerusi kempen ini, PPZ-Maiwp berkolaborasi dengan rakan strategik iaitu Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Perkeso dan Bank Islam bagi memberikan inisiatif khas kepada pembayar zakat perniagaan.

Selain daripada menyediakan khidmat nasihat dan taksiran zakat perniagaan, manfaat kempen ini terbuka kepada pembayar zakat perniagaan dengan nilai serendah RM100 hingga RM7,000 yang berpeluang menikmati pendaftaran perniagaan secara percuma melalui Skim Pendaftaran Perniagaan Percuma (SPPP).

Selain itu, peniaga boleh mendaftar caruman Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) Perkeso serendah RM46.60 setahun dan pembiayaan Mikro iTekad Maju oleh Bank Islam, disamping sesi induksi, latihan serta bimbingan perniagaan bagi permohonan yang berjaya.

Untuk menyertai kempen ini boleh melayari https://bit.ly/Mesra NiagaPPZ.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Julai 2023 @ 3:31 PM