PADA ketika ini ekonomi Malaysia berada pada tahap pertumbuhan lebih baik yang mana pertumbuhan ekonomi pada suku kedua 2022  meningkat ke tahap 8.9 peratus berbanding suku pertama 2022 iaitu 5.0 peratus.
PADA ketika ini ekonomi Malaysia berada pada tahap pertumbuhan lebih baik yang mana pertumbuhan ekonomi pada suku kedua 2022 meningkat ke tahap 8.9 peratus berbanding suku pertama 2022 iaitu 5.0 peratus.
Oleh Mohd Zaky Zainuddin


Kuala Lumpur: Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) sewajarnya diadakan seawal Februari tahun depan, beberapa bulan selepas pembentangan Bajet 2023 untuk membolehkan hala tuju pembangunan ekonomi dan kesejahteraan rakyat dapat dilaksanakan.

Pemilihan tarikh pilihan raya umum patut diadakan antara Februari hingga berakhirnya mandat sehingga September tahun depan bagi memastikan Malaysia mampu untuk berhadapan tekanan ekonomi global luar biasa ketika ini disebabkan oleh ketidaktentuan ekonomi dunia.

Pensyarah Sekolah Perniagaan dan Ekonomi Universiti Putra Malaysia (UPM) Prof Madya Ts Dr Anuar Shah Bali Mahomed berkata, pelaksanaan PRU-15 perlu melihat aspek perkembangan dan pertumbuhan ekonomi negara yang ketika ini dalam proses pemulihan, tetapi berdepan cabaran luaran termasuk krisis geopolitik.

Beliau berkata, pada ketika ini ekonomi Malaysia berada pada tahap pertumbuhan lebih baik yang mana pertumbuhan ekonomi pada suku kedua 2022 meningkat ke tahap 8.9 peratus berbanding suku pertama 2022 iaitu 5.0 peratus.

Bahkan katanya, pertumbuhan 8.9 peratus lebih baik daripada pertumbuhan ekonomi sebelum terjadinya krisis kesihatan Covid-19 dengan mengambil contoh setiap suku tahun 2019 iaitu suku pertama (4.5 peratus), suku kedua (4.9 peratus), suku ketiga (4.4 peratus) dan suku keempat (3.6 peratus).

Jelasnya, pertumbuhan positif ekonomi negara meningkat secara konsisten dalam tiga suku tahun ke belakang iaitu dari suku keempat 2021 iaitu 3.6 peratus, suku pertama 2022 iaitu 5.0 peratus dan suku kedua 2022 iaitu 8.9 peratus.

"Melihat kepada data ini, adakah kita boleh simpulkan ekonomi negara kita kembali pulih sepenuhnya? Sebenarnya pemulihan sepenuhnya ekonomi negara perlu mengambil masa lebih panjang daripada yang diharapkan disebabkan krisis yang berlaku akibat Covid-19 sejak 2020, ditambah pula pelbagai krisis global lain yang berlaku secara serentak dan berterusan termasuk peperangan Ukraine dan Rusia, krisis keselamatan makanan dan kenaikan harga barangan.

"Negara perlu berhati-hati dengan mengambil kira ketidaktentuan ekonomi global termasuk peperangan Ukraine-Rusia yang tidak menunjukkan tanda berakhir dalam masa terdekat. Jika keadaan ini berlarutan maka ia boleh memberi kesan kepada ekonomi negara kita.

"Peperangan ini memberi impak besar kepada ekonomi dunia dan perkembangan luaran yang berpotensi mencetuskan kelembapan ekonomi dan tentu sekali memberi impak kepada ekonomi terbuka yang diamalkan oleh negara. Dengan mengambil pertimbangan diberikan, maka PRU-15 sebolehnya diadakan tahun hadapan," katanya.

Mengulas lanjut, menurutnya, ada keperluan penting untuk meneruskan inisiatif dirangka kerajaan yang mana ia menjadi satu kesinambungan terhadap semua inisiatif dilaksanakan sebelum ini dan inisiatif yang akan dan sedang dilaksana dalam tempoh enam bulan akan datang.

"Ia juga bagi memastikan kita mampu berhadapantekanan ekonomi global luar biasa pada ketika ini disebabkan ketidaktentuan ekonomi dunia," katanya.

Beliau menjelaskan, ada pandangan mengatakan keperluan untuk diadakan PRU-15 pada ketika ini namun persoalan yang timbul, adakah ia dapat menyelesaikan masalah berkaitan isu kestabilan politik.

Katanya, sebelum ini Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menganggarkan kos pelaksanaan PRU-15 adalah RM1.01 bilion iaitu dua kali ganda berbanding PRU-14 iaitu sekitar RM500 juta dan PRU-13 sekitar RM400 juta.

"Dengan perbelanjaan lebih RM1 bilion ini, ia tidak memberi satu jaminan kita akan memperoleh satu kerajaan benar-benar stabil sebagaimana diharapkan.

"Bahkan kerajaan disebut tidak stabil pada ketika ini mampu menzahirkan prestasi pertumbuhan ekonomi 8.9 peratus pada suku kedua 2022, pencapaian lebih baik daripada sebahagian besar negara jiran kita

"Sebagai perbandingan, pertumbuhan ekonomi Indonesia adalah 5.4 peratus, Filipina (7.4 peratus), Vietnam (7.7 peratus) dan Singapura (4.8 peratus). Ini membuktikan bahawa Malaysia adalah antara ekonomi Asia Tenggara yang paling pesat berkembang pasca-Covid-19," katanya.

Beliau turut mengaitkan nilai jualan Perdagangan Borong dan Runcit Malaysia mencatatkan paras tertinggi sejak 2013, iaitu RM129.8 bilion setakat Mei 2022, manakala aliran masuk Pelaburan Langsung Asing (FDI) bagi 2021 ialah RM48.1 bilion, mengatasi tahun sebelum wabak melanda dunia.

Malahan, katanya, kedudukan FDI di Malaysia telah berkembang sebanyak RM24.1 bilion iaitu RM836.2 bilion pada akhir suku kedua 2022 berbanding RM812.1 bilion pada suku pertama tahun 2022.

"Semua data ini menunjukkan dengan jelas bahawa terdapat momentum kukuh pertumbuhan ekonomi negara.

"Saya berpandangan berdasarkan situasi semasa, tiada jaminan PRU-15 dapat menyelesaikan kestabilan politik negara bahkan berkemungkinan juga selepas perbelanjaan RM1.01 bilion untuk pilihan raya umum ini, situasinya nanti mungkin lebih kurang sama sebagaimana sekarang dengan tiada mana-mana parti politik yang mempunyai majoriti untuk membentuk kerajaan secara bersendirian," katanya.

Katanya, enam bulan ke hadapan menjadi satu tempoh masa yang amat kritikal untuk melaksanakan segala inisiatif yang mampu untuk meneruskan momentum pemulihan ekonomi negara dan kuncinya adalah Bajet 2023 yang diharapkan akan dapat memperkenalkan inisiatif yang dapat meningkatkan pertumbuhan ekonomi negara secara konsisten ke tahap lebih baik.

"Ia tentu sekali akan dapat membantu rakyat secara keseluruhan untuk melengkapkan diri dalam segala aspek yang diperlukan dalam berhadapan dengan ketidaktentuan ekonomi global yang berkemungkinan berpanjangan.

"PRU-15 boleh diadakan sekurang-kurangnya dalam tempoh enam bulan daripada sekarang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 Ogos 2022 @ 7:01 AM