Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. - FOTO Nik Abdullah Nik Omar
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. - FOTO Nik Abdullah Nik Omar

Kuala Lumpur

Ekonomi Malaysia mencatat pertumbuhan sebanyak 5.6 peratus pada suku pertama 2023 (S1 2023), lebih baik berbanding pertumbuhan negara serantau seperti Indonesia (5.0 peratus), China (4.5 peratus) dan Vietnam (3.3 peratus).

Prestasi pertumbuhan S1 2023 menyumbang kepada sasaran untuk mencapai pertumbuhan ekonomi keseluruhan tahun 2023 antara 4.0 peratus hingga 5.0 peratus.

Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pertumbuhan S1 2023 juga lebih baik berbanding S1 2022 sebanyak 4.8 peratus.

"Dari segi pelarasan musim suku tahunan, ekonomi berkembang sebanyak 0.9 peratus pada S1 2023 berbanding penguncupan 1.7 peratus pada S4 2022.

"Prestasi ekonomi Malaysia pada suku pertama 2023 disokong oleh peningkatan aktiviti ekonomi pertumbuhan berasaskan luas merentas semua sektor terutamanya sektor perkhidmatan yang berkembang sebanyak 7.3 peratus dan pembuatan sebanyak 3.2 peratus.

"Pengembangan ekonomi juga disokong oleh permintaan domestik yang mampan terutamanya perbelanjaan swasta berikutan penambahbaikan berterusan dalam pasaran buruh," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, pasaran buruh terus mencatat momentum pertumbuhan pada S1 2023, mengekalkan tahap guna tenaga penuh dengan kadar pengangguran 3.5 peratus (S4 2022: 3.6 peratus).

"Kadar inflasi pada S1 2023 telah menyederhana kepada 3.6 peratus (S4 2022: 3.9 peratus), antaranya berikutan pelaksanaan langkah kawalan harga dan pemberian subsidi kepenggunaan oleh kerajaan.

"Kadar inflasi Malaysia bagi bulan Mac 2023 terus mencatat trend penurunan kepada 3.4 peratus (Februari 2023: 3.7 peratus), iaitu lebih rendah berbanding beberapa negara maju dan serantau seperti United Kingdom (10.1 peratus), Filipina (7.6 peratus), Singapura (5.5 peratus), serta Amerika Syarikat dan Indonesia (5.0 peratus)," katanya.

Beliau berkata demikian bagi mengulas prestasi ekonomi negara yang mencatatkan pertumbuhan 5.6 peratus pada suku pertama 2023.

Pengumuman berkenaan dibuat Gabenor Bank Negara Malaysia, Tan Sri Nor Shamsiah Mohd Yunus hari ini.

Perdana Menteri berkata, selari dengan unjuran prospek pertumbuhan ekonomi dunia oleh Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dan Bank Dunia, pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia dijangka menyederhana pada 2023 berikutan permintaan luar yang lebih perlahan akibat daripada perdagangan global yang semakin lemah.

"Ketegangan geopolitik, tekanan harga yang tinggi dan keadaan kewangan yang lebih ketat juga akan terus menjejaskan prospek ekonomi dunia," katanya.

Beliau berkata, perkembangan dalam negara seperti iklim ekstrem yang mencetus fenomena gelombang haba dan musim El Nino yang diramal bermula pada Jun 2023, dijangka mempengaruhi aktiviti ekonomi terutamanya dalam sektor pertanian dan pembinaan.

"Di sebalik cabaran dan ketidaktentuan ekonomi global ini, kerajaan yakin dapat mencapai unjuran pertumbuhan kami sebanyak 4.0 peratus hingga 5.0 peratus untuk 2023, disokong oleh asas ekonomi Malaysia yang kukuh dan pelaksanaan langkah Belanjawan 2023.

"Kerajaan akan terus mengutamakan menangani cabaran ekonomi harian yang dihadapi oleh rakyat Malaysia sambil menumpukan usaha untuk mengurangkan ketirisan dan menangani rasuah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Mei 2023 @ 6:10 PM