KAKITANGAN Kementerian Kewangan menonton siaran langsung pembentangan Bajet 2023 oleh Tengku  Zafrul di perkarangan pejabat Kementerian Kewangan. FOTO Eizairi Shamsudin
KAKITANGAN Kementerian Kewangan menonton siaran langsung pembentangan Bajet 2023 oleh Tengku Zafrul di perkarangan pejabat Kementerian Kewangan. FOTO Eizairi Shamsudin
BERNAMA

Kuala Lumpur: Meningkatkan komitmen dalam persekitaran pertumbuhan hasil yang terhad menunjukkan kerajaan telah berjaya mencapai keseimbangan antara memastikan perkembangan ekonomi dan menjaga kepentingan rakyat dalam menghadapi kemungkinan kemelesetan global pada 2023 serta pada masa yang sama perlu menangani impak Covid-19.

Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz hari ini mengumumkan sejumlah RM372.3 bilion akan diperuntukkan bagi Bajet 2023 berbanding peruntukan RM332.1 bilion tahun laludalam bajet sebelumnya.

"Dengan tekad: "Keluarga Malaysia, Makmur Bersama", bajet ini akan memastikan kesejahteraan rakyat, kelangsungan perniagaan, kemakmuran ekonomi dan kecekapan perkhidmatan kerajaan," katanya ketika membentangkan Bajet 2023 di parlimen di sini hari ini selepas banyak desas-desus menyatakan pembentangan ini tidak akan diadakan untuk memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15)

Beliau berkata dalam memastikan agenda Bajet 2023 yang responsif, kerajaan akan terus melaksanakan dasar fiskal yang mengembang yang mana pendekatan ini penting bagi menyediakan bantuan sewajarnya kepada rakyat dan menyokong perniagaan.

Tengku Zafrul berkata ekonomi negara terus mengukuh pada lima peratus pada suku pertama tahun ini dan kini melonjak 8.9 peratus bagi suku kedua, yang merupakan pencapaian terbaik di Asia Tenggara.

"Momentum pertumbuhan ekonomi dijangka berterusan, malah lebih mengukuh bagi suku ketiga 2022. Insya-Allah, ekonomi negara dijangka berkembang lebih baik daripada unjuran Mac lalu antara 5.3 – 6.3 peratus.

"Dengan indikator ekonomi yang terus menyokong trend pertumbuhan, kerajaan menyemak semula unjuran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 2022 kepada antara 6.5 hingga 7 peratus," katanya.

Bagi tahun 2023, Malaysia dijangka merekodkan kadar pertumbuhan ekonomi yang sederhana di antara 4.0 hingga 5.0 peratus, katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 Oktober 2022 @ 4:53 PM