PELANJUTAN HOC turut memberi kesan positif kepada segmen kediaman sekunder.
PELANJUTAN HOC turut memberi kesan positif kepada segmen kediaman sekunder.
Fairul Asmaini Mohd Pilus


PERMINTAAN terhadap hartanah kediaman sekunder di negara ini mengalami pertumbuhan positif pada separuh pertama tahun ini dengan peningkatan sebanyak +19.2 peratus berbanding -2.5 peratus pada separuh pertama tahun lalu.

Pengurus Besar Penyelesaian Data Pelanggan dan Kualiti iProperty.com.my, Premendran Pathmanathan berkata, pandemik Covid-19 tidak mendatangkan kesan buruk ke atas segmen berkenaan seperti yang berlaku pada separuh pertama tahun lalu di mana angka permintaan pada ketika itu menjunam hingga paras negatif.

Kata Premendran, salah satu faktor penting yang menyokong pemulihan permintaan pada separuh pertama tahun ini ialah pencari hartanah mulai selesa dengan idaea melakukan carian hartanah mereka dalam talian.

"Selain daripada melayari hartanah dalam talian, perbincangan susulan dengan ejen hartanah secara maya juga diterima sebagai salah satu norma baharu.

"Kempen Pemilikan Rumah (HOC) yang dilanjutkan sehingga Disember depan turut menjadi motivasi. Menerusi pelbagai tawaran hartanah, HOC memberikan kesan limpahan ke atas segmen kediaman sekunder memandangkan pencari hartanah yang teliti akan terus melayari rumah sekunder di kawasan sama atau kawasan sekitar bagi membandingkan harga hartanah," kata Premendran ketika membentangkan secara maya tahunan Analisis Permintaan Portal Pasaran Kediaman Sekunder Separuh Pertama 2021 oleh portal hartanah terkenal, iProperty.com.my.

Menurut Premendran, terdapat peningkatan dalam permohonan pinjaman rumah dengan permintaan positif terhadap semua jenis hartanah di Malaysia

Kata Premendran, pertumbuhan permintaan sebanyak dua digit itu jelas mencerminkan peningkatan dari segi minat orang ramai terhadap hartanah.

Katanya, pembeli rumah ternyata benar-benar berminat untuk membuat pembelian kerana ramai yang mengambil langkah susulan seperti memohon pinjaman perumahan pada suku pertama tahun ini.

"Berdasarkan data permohonan pinjaman bulanan Bank Negara Malaysia, nilai permohonan pinjaman perumahan meningkat +86 peratus, tahun ke tahun daripada RM96.4 bilion pada separuh pertama tahun lalu kepada RM179.4 bilion pada separuh pertama tahun ini.

"Nilai pinjaman yang diluluskan juga meningkat +92.6 peratus tahun ke tahun bagi tempoh sama dan dengan kadar dasar semalaman (OPR) berada pada paras terendah 1.75 peratus, ramai pengguna mencari tawaran hartanah dalam persekitaran kadar faedah yang rendah," katanya.

Jelas Premendran lagi, minat terhadap rumah teres kekal tinggi di Malaysia dengan peningkatan +29 peratus tahun ke tahun, membolehkan penjual mengekalkan harga permintaan yang tinggi pada +1.6 peratus.

Kata beliau, permintaan terhadap kondominium, pangsapuri dan kediaman perkhidmatan juga kekal positif walaupun agak rendah dengan masing-masing mencatatkan peningkatan +5.2 peratus, +11.7 peratus dan +6.8 peratus tahun ke tahun.

PENCARI hartanah mulai selesa melakukan carian dalam talian.
PENCARI hartanah mulai selesa melakukan carian dalam talian.

"Bagaimanapun, harga permintaan rumah bangunan tinggi di semua negeri utama merosot akibat jumlah unit tidak terjual yang tinggi dan sebagai salah satu cara untuk penjual menarik minat pembeli," katanya.

Dalam pada itu, Premendran menambah, aliran kenaikan jumlah permohonan pinjaman perumahan yang diluluskan juga menggalakkan.

Keadaan itu secara tidak langsung menunjukkan bahawa rakyat Malaysia yang berkemampuan dari segi kewangan masih berminat untuk membeli rumah sama ada untuk kediaman mereka sendiri atau sebagai pelaburan.

Namun, Premendran berkata, di sebalik angka positif itu, bakal pemilik rumah perlu membuat perancangan sebelum komited untuk membuat pinjaman jangka panjang kerana kadar faedah mungkin tidak kekal rendah dalam jangka yang lama.

"Pengembalian kepada kadar faedah prapandemik akan mengakibatkan pembayaran semula bulanan yang lebih tinggi pada masa depan.

"Negara kita sedang merancakkan lagi program vaksinasinya dan menuju ke arah mencapai matlamat imuniti kelompok, kami berharap ekonomi dan pasaran hartanah akan pulih dalam separuh kedua tahun ini," katanya.

Kawasan mewah kekal stabil

Kawasan mewah di ibu negara, Kuala Lumpur pula kekal stabil dan mencatatkan pertumbuhan +8.1 peratus dari segi permintaan kediaman sekunder, berbanding +0.3 peratus pada separuh pertama tahun lalu.

Harga permintaan di kawasan mewah seperti Damansara Heights, Sri Hartamas, Mont Kiara dan Desa Parkcity cenderung untuk meningkat lebih tinggi kerana kawasan terbabit menjadi tumpuan utama pencari hartanah yang berkemampuan.

Permintaan terhadap rumah teres di Kuala Lumpur juga kekal mantap pada +27.1 peratus dengan pertumbuhan harga permintaan sebanyak +2.9 peratus.

Kawasan Bangsar turut menyaksikan permintaan kukuh terhadap rumah teres berharga RM1.5 juta hingga RM2 juta (1,500 hingga 2,000 kaki persegi).

Keadaan itu berbeza dengan kawasan Taman Tun Dr Ismail yang menarik minat pengunjung yang mencari unit bangunan tinggi berharga RM1 juta hingga RM1.5 juta (1,500 hingga 2,000 kaki persegi).

Sementara itu, permintaan terhadap hartanah kediaman sekunder di Selangor juga meningkat +17.6 peratus pada separuh pertama tahun ini, didorong peningkatan permintaan terhadap rumah teres sebanyak +20.7 peratus tahun ke tahun (+3.5 peratus harga permintaan).

Kawasan pinggir bandar di negeri itu kekal menjadi pilihan utama memandangkan trend bekerja dari rumah dijangka berterusan dan pengguna tertarik dengan harga yang mampu milik serta keluasan hartanah.

Kawasan Puncak Alam dan Dengkil menyaksikan permintaan tinggi untuk rumah teres berharga RM500,000 hingga RM750,000 (1,500 hingga 2,000 kaki persegi), manakala minat terhadap hartanah di Semenyih dan Sungai Long pula didorong oleh saiz rumah teres yang lebih luas (2,000 hingga 3,000 kaki persegi).

Di Pulau Pinang, berbanding separuh pertama tahun lalu, pertumbuhan permintaan hartanah kediaman sekunder di negeri itu menunjukkan pemulihan daripada -6.5 peratus kepada +23 peratus tahun ke tahun berdasarkan minat ke atas kawasan perindustrian seperti Batu Kawan dan Bayan Lepas yang menempatkan banyak syarikat pengilangan teknologi.

Di Johor, pasaran hartanah kediaman sekunder di negeri itu turut mengalami pertumbuhan positif +36.5 peratus pada separuh pertama tahun ini berbanding -22.8% pada separuh pertama tahun lalu.

Peningkatan itu kebanyakan datang daripada pencari hartanah tempatan kerana permintaan daripada warga asing terutamanya dari Singapura, kekal rendah memandangkan pintu sempadan masih lagi ditutup.

Rumah bertanah kekal menjadi jenis hartanah pilihan di Johor, dengan rumah teres berharga RM300,000 hingga RM500,000 (1,500 hingga 2,000 kaki persegi) menjadi tumpuan utama.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 Ogos 2021 @ 7:01 AM