HARTANAH kediaman jenis sekunder atau subsale terus mencatatkan momentum positif apabila berlaku peningkatan 19.2 peratus pada separuh pertama tahun ini.

Keadaan ini sedikit berbeza berbanding separuh pertama tahun lalu di mana permintaan menjunam ke paras negatif.

Pengurus Besar Penyelesaian Data Pelanggan & Kualiti iProperty.com.my, Premendran Pathmanathan berkata, jumlah pengunjung dan penyenaraian hartanah dalam portal itu yang terdiri daripada rumah teres, kondominium, kediaman dan pangsapuri perkhidmatan, meningkat pada separuh pertama tahun ini dengan jumlah kunjungan melebihi bekalan yang disenaraikan.

Justeru, katanya, pemulihan pasaran kediaman sekunder yang dilihat pada enam bulan pertama tahun ini adalah sesuatu yang memberangsangkan.

"Pandemik Covid-19 tidak mendatangkan kesan yang buruk ke atas segmen ini seperti yang berlaku pada separuh pertama tahun lalu apabila permintaan pada ketika itu menjunam hingga ke paras negatif.

"Salah satu faktor penting yang menyokong pemulihan permintaan pada separuh pertama tahun ini adalah pencari hartanah mulai selesa dengan kaedah carian hartanah di dalam talian.

"Selain melayari hartanah di dalam talian, perbincangan susulan dengan ejen secara maya juga diterima sebagai satu norma baharu," katanya dalam kenyataan selepas pembentangan laporan Analisis Permintaan Portal Pasaran Kediaman Sekunder Separuh Pertama 2021 oleh iProperty.com.my, semalam.

Premendran berkata, lanjutan Kempen Pemilikan Rumah (HOC) sehingga Disember 2021 turut bertindak sebagai penggalak, dengan pelbagai tawaran hartanah memberikan kesan limpahan ke atas segmen kediaman sekunder.

Katanya, pencari hartanah yang teliti akan terus melayari rumah sekunder di kawasan yang sama atau kawasan sekitar bagi membandingkan harga.

"Pertumbuhan permintaan sebanyak dua angka bukan sekadar mencerminkan peningkatan dari segi minat terhadap hartanah.

"Pembeli rumah ternyata benar-benar berminat untuk membuat pembelian kerana ramai yang mengambil langkah susulan seperti memohon pinjaman perumahan pada suku pertama 2021," katanya.

Berdasarkan data bulanan Bank Negara Malaysia (BNM), nilai permohonan pinjaman perumahan meningkat 86 peratus tahun ke tahun daripada RM96.4 bilion pada separuh pertama 2020 kepada RM179.4 bilion pada enam bulan pertama tahun ini.

Nilai pinjaman yang diluluskan juga meningkat 92.6 peratus tahun ke tahun bagi tempoh sama.

Dalam pada itu, menurutnya, permintaan terhadap rumah teres di Kuala Lumpur kekal mantap pada 27.1 peratus dengan pertumbuhan harga permintaan sebanyak 2.9 peratus khususnya di Bangsar yang menyaksikan permintaan kukuh terhadap rumah teres berharga di antara RM1.5 juta hingga RM2 juta.

Di Selangor, kawasan pinggir bandar di negeri ini kekal menjadi pilihan utama memandangkan trend bekerja dari rumah dijangka berterusan dan pengguna tertarik dengan harga mampu milik dan keluasan hartanah.

Puncak Alam dan Dengkil menyaksikan permintaan tinggi untuk rumah teres berharga di antara RM500,000 hingga RM750,000 manakala minat terhadap hartanah di Semenyih dan Sungai Long pula didorong oleh saiz rumah teres yang lebih luas.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 Ogos 2021 @ 7:20 AM