Foto hiasan.
Foto hiasan.

Kuala Lumpur: Hartanah kediaman bertingkat tinggi di kawasan bandar yang mapan dan baru muncul mencapai kenaikan harga median sewa yang menggalakkan.

Selain itu, hartanah kediaman bertingkat tinggi di Kuala Lumpur dan Selangor mencatatkan pertumbuhan harga median sewa tertinggi pada separuh pertama tahun ini.

iProperty.com.my berkata hartanah itu menyaksikan pertumbuhan peratusan dua angka berbanding separuh kedua 2021.

Dalam kenyataan hari ini, katanya semakin ramai pencari hartanah mengalihkan tumpuan kepada menyewa sebagai penyelesaian untuk meningkatkan keperluan gaya hidup dan ruang kediaman mereka berikutan iklim ekonomi yang mencabar termasuk kenaikan kadar faedah dan kos sara hidup yang lebih tinggi.

Pengurus Negara PropertyGuru Malaysia (PropertyGuru.com.my dan iProperty.com.my), Sheldon Fernandez berkata, carian untuk hartanah sewa di iProperty meningkat sebanyak 34 peratus pada separuh pertama 2022, menunjukkan menyewa adalah pilihan yang sesuai untuk pengguna yang ingin mencari lebih kebebasan dan fleksibiliti serta kelebihan kewangan.

"Pertumbuhan harga sewa yang memberangsangkan oleh beberapa hartanah terkemuka di Lembah Klang juga memberi petunjuk bahawa pasaran hartanah mempunyai keupayaan untuk pulih pascapandemik.

"Ini memberikan keyakinan kepada pembeli dan penaik taraf yang ingin melabur dalam hartanah kediaman. Pada masa sama, situasi ini memberi peluang kepada pelabur hartanah yang kukuh dari segi kewangan untuk memanfaatkan potensi hartanah sewa yang menguntungkan," katanya.

Data iProperty menawarkan gambaran lebih jelas tentang pergerakan harga sewa dengan mengenal pasti hartanah bertingkat tinggi melalui tiga peringkat harga berbeza - di bawah RM1,500; RM1,500 hingga RM2,500 dan melebihi RM2,500.

Ini menawarkan pandangan yang lebih mendalam tentang pelbagai jenis pilihan pelaburan sewaan yang menunjukkan prestasi baik dalam keadaan semasa.

Lokasi yang strategik dan harga yang baik adalah faktor pendorong utama di sebalik pertumbuhan harga median sewa beberapa hartanah kediaman bertingkat tinggi di Kuala Lumpur di bawah RM1,500.

Kondominium Miharja di Cheras mengungguli senarai dengan pertumbuhan sebanyak 11.5 peratus.

Kondominium itu terletak berdekatan stesen LRT dan MRT serta kemudahan runcit seperti pusat beli-belah, medan selera dan restoran.

Katanya beberapa hartanah bertingkat tinggi di Bukit Jalil dan Kuchai Lama juga muncul sebagai pemenang, mencatatkan pertumbuhan harga median sewa antara 9.1 peratus (De Tropicana, Kuchai Lama) dan 7.8 peratus (Residensi Lanai, Bukit Jalil).

Pergerakan positif itu disokong oleh kemudahan untuk mengakses projek ini melalui beberapa lebuh raya utama.

Sementara itu, hartanah di pinggir bandar Selangor seperti Bandar Sungai Long, Cyberjaya dan Semenyih, terus popular dalam kalangan penyewa berpendapatan sederhana.

Katanya hartanah terbaik dengan harga sewa antara RM1,500 hingga RM2,500 menarik minat golongan muda di bandar kerana mereka biasanya tinggal di lokasi yang lebih strategik dan menawarkan beberapa kelebihan gaya hidup.

Taragon Puteri Bintang di Kuala Lumpur menyaksikan harga median sewanya meningkat sebanyak 33.3 peratus pada separuh pertama 2022 manakala Setapak menawarkan lebih banyak pilihan kediaman bertingkat tinggi dengan harga yang berpatutan dan kemudahan gaya hidup yang dinaik taraf serta akses mudah ke pusat bandar.

Bagi Selangor, lima hartanah sewa di Subang Jaya dan Puchong mendominasi senarai pertumbuhan harga median teratas - berikutan tarikan tradisionalnya sebagai kawasan kejiranan matang yang memfokuskan kehidupan keluarga dan komuniti.

Faktor kesesuaian untuk didiami adalah salah satu kekuatan Subang Jaya. Kawasan ini telah menjadi sebuah pusat kepada pelbagai medan makan, tarikan keluarga dan institusi pendidikan.

Sementara itu, daya tarikan Puchong sentiasa menjadi tumpuan keterhubungan, dengan banyak LRT dan titik akses lebuh raya.

Pembukaan semula sempadan antarabangsa telah menarik komuniti ekspatriat untuk kembali ke pasaran hartanah Malaysia terutamanya hartanah terbaik yang premium dan eksklusif (harga sewa melebihi RM2,500).

Hartanah ini juga terkenal dalam kalangan pelancong dan pengembara perniagaan yang mencari penginapan jangka pendek.

Katanya di pusat bandar Kuala Lumpur, Setia SKY Residences mencatatkan pertumbuhan purata harga sewa sebanyak 29 peratus manakala Mont Kiara, satu lagi kawasan popular dalam kalangan ekspatriat yang menyaksikan harga sewa puratanya meningkat antara 11.1 peratus (i-Zen @ Kiara 2) dan 10.5 peratus (Lumina Kiara), menjadikannya sasaran kegemaran pelabur hartanah.

Bagi penyewa tempatan dalam lingkungan pendapatan lebih tinggi, ramai yang merasakan pengalaman hidup yang dipertingkatkan dengan ruang yang besar, persekitaran hijau yang kondusif dan kemudahan yang memperkayakan gaya hidup, sebagai faktor kritikal apabila mencari hartanah.

Contoh utama ialah Tropicana Grande, yang menyaksikan harga sewa puratanya meningkat sebanyak 9 peratus - kondominium gaya resort ini menyediakan kemudahan rumah kelab dan berhadapan Tropicana Golf & Country Resort.

Verde@Ara Damansara, dengan kemudahan rekreasi yang diilhamkan oleh hotel juga masuk dalam senarai dengan purata pertumbuhan harga sewa sebanyak 12.90 peratus.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 September 2022 @ 2:48 PM