TREND berpindah ke kawasan pinggir bandar terus meningkat apabila model kerja hibrid menjadi lebih popular. - FOTO Google
TREND berpindah ke kawasan pinggir bandar terus meningkat apabila model kerja hibrid menjadi lebih popular. - FOTO Google
Fairul Asmaini Mohd Pilus


HARTANAH terpilih di beberapa kawasan utama berhampiran sekolah antarabangsa dan swasta terkenal di Lembah Klang menjadi pilihan pembeli dengan rekod jumlah transaksi yang besar pada tahun lalu.

Projek terbabit berada dalam radius dua kilometer dari institusi pendidikan popular dan berada di lokasi utama seperti Subang Jaya, Puchong, Kuala Lumpur, Mont Kiara, Kepong, Petaling Jaya, Setapak, Ampang Jaya, Cheras, Seri Kembangan, Shah Alam, Klang dan Cyberjaya.

Pengurus Negara, PropertyGuru Malaysia (PropertyGuru.com.my dan iProperty.com.my) Shylendra Nathan berkata, salah satu aspek pembelian yang dipertimbangkan dalam kalangan pembeli hartanah (yang mempunyai anak-anak yang sedang membesar dan mencari rumah baharu) adalah lokasi berhampiran dengan sekolah.

Justeru, pembeli cenderung untuk mengutamakan akses ke sekolah dengan 'bereputasi' tanpa menjejaskan persekitaran kehidupan yang kondusif.

Kata beliau, walaupun berdepan kesukaran disebabkan pandemik Covid-19, hartanah yang terletak berhampiran sekolah swasta dan antarabangsa terus menarik perhatian selain menyaksikan aktiviti transaksi yang menggalakkan pada tahun lalu.

"Kami berpendapat bahawa walaupun dalam masa sukar, pembeli berasakan membeli rumah berdekatan sekolah yang 'bereputasi' kekal menjadi salah satu keutamaan mereka," katanya.

Menurut Shylendra lagi, pertumbuhan transaksi turut disumbang pelabur yang menyedari bahawa lokasi berhampiran sekolah boleh menjadi pemacu permintaan hartanah sewa, terutama dalam kalangan komuniti ekspatriat yang populasinya dijangka meningkat berikutan peralihan Malaysia ke fasa endemik.

Kata beliau, apabila pasaran pulih, trend membeli hartanah berdekatan institusi pendidikan swasta mungkin meningkat.

HARTANAH di kawasan berhampiran sekolah antarabangsa dan swasta terkenal di Lembah Klang menjadi pilihan pembeli. - FOTO Google
HARTANAH di kawasan berhampiran sekolah antarabangsa dan swasta terkenal di Lembah Klang menjadi pilihan pembeli. - FOTO Google

"Ini memberi petanda baik bukan sahaja dari segi gaya hidup pembeli hartanah dan kemudahan anak-anak mereka, tetapi juga dari segi pertumbuhan nilai jangka panjang pelaburan hartanah mereka.

"Apatah lagi, trend berpindah ke kawasan pinggir bandar untuk mencari kualiti hidup yang lebih baik akan terus meningkat apabila model kerja hibrid menjadi lebih popular," katanya.

Dalam pada itu, permintaan untuk kawasan kejiranan yang terletak di sekitar sekolah 'bereputasi' turut meningkat kerana hartanah dalam lokasi terbabit menjadi sasaran utama pembeli yang ingin menaik taraf dan pasangan baru berumah tangga.

Pandemik Covid-19 turut mengetengahkan keperluan untuk persekitaran pendidikan jarak jauh.

Sementara itu, ada beberapa isu yang sering dihadapi pengguna apabila membuat kajian untuk membeli dan menjual hartanah.

Antaranya menentukan harga permintaan semasa sesuatu hartanah menyebabkan pengguna memilih untuk tidak meneruskan pembelian atau penjualan kerana bimbang terlebih berbelanja atau menjualnya di bawah harga pasaran.

Bagi pembeli rumah pula, kesukaran menentukan lokasi sesuai untuk membeli sesebuah rumah antara isu yang dihadapi ketika membuat kajian.

Ketidakupayaan untuk memilih sebuah kawasan kejiranan serasi, dalam masa munasabah, boleh menghampakan harapan pembeli untuk mencari hartanah bersesuaian dengan bajet.

Bagi penjual rumah pula, mereka masih berdepan isu menentukan masa paling tepat untuk menjual hartanah mereka bagi mendapatkan keuntungan yang optimum.

DATA transaksi tepat turut memperkasakan pengguna supaya lebih yakin apabila berunding dengan ejen, pembeli atau penjual hartanah. - FOTO Google
DATA transaksi tepat turut memperkasakan pengguna supaya lebih yakin apabila berunding dengan ejen, pembeli atau penjual hartanah. - FOTO Google

Ini kerana harga sesebuah hartanah bergantung kepada harga permintaan hartanah serupa di dalam kawasan sama.

Oleh itu, penetapan harga permintaan atau jualan yang salah mungkin boleh menjejaskan peluang mereka untuk menjual hartanah.

Menurut Pengarah Produk Malaysia iProperty.com.my, Shah Rubhen membeli atau menjual hartanah adalah satu komitmen besar yang memerlukan kajian menyeluruh dan penelitian sewajarnya serta data transaksi memainkan peranan penting dalam kajian itu.

Data transaksi yang tepat bukan sahaja memberikan pengguna satu alat mengukur harga yang betul untuk belian atau jualan, tetapi ia turut memperkasakan mereka supaya lebih yakin apabila berunding dengan ejen, pembeli atau penjual hartanah.

Katanya, walaupun data transaksi hartanah sekunder boleh didapati dalam talian, ramai pengguna berdepan halangan apabila mereka ingin membuat kajian mengenai hartanah.

"Sebagai contoh, ada laporan mengenai penjual hartanah yang menghadapi kesukaran untuk menjual hartanah mereka disebabkan jurang harga antara pembeli dan penjual.

"Salah satu puncanya ialah ketiadaan platform mudah untuk memberikan data harga permintaan semasa yang jelas dan terkini kepada pengguna.

"Kesukaran untuk mendapatkan data itu atau 'lambakan maklumat' daripada pelbagai laman web boleh melambatkan atau menjejaskan minat pengguna untuk membeli atau menjual hartanah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Julai 2022 @ 7:01 AM