Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Zuraida Kamaruddin. - FOTO NSTP
Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Zuraida Kamaruddin. - FOTO NSTP
Sri Ayu Kartika Amri


Kuala Lumpur: Ekspo dan Sidang Kemuncak Agrikomoditi Antarabangsa Malaysia (MIACES) dijangka mampu membantu negara mencapai nilai sasaran eksport industri agrikomoditi lebih RM300 bilion bagi tahun ini.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Zuraida Kamaruddin berkata, tidak boleh dinafikan lagi bahawa peranan pasaran seperti Malaysia amat diperlukan dan penting dalam rantaian bekalan global.

Katanya, dengan inovasi yang dipercepatkan dalam teknologi penanaman, pembesaran dan penuaian, inilah masanya untuk memanfaatkan potensi Malaysia ke arah transformasi menjadi hab pertanian, di peringkat serantau dan global.

"Kami percaya ekspo yang julung kali diadakan ini akan meningkatkan pendapatan eksport agrikomoditi yang disasarkan RM300 bilion tahun ini.

"Tahun lalu pendapatan eksport adalah sebanyak RM204 bilion daripada keseluruhan pendapatan eksport negara di mana sawit dan getah adalah penyumbang utama dalam peningkatan nilai eksport agrikomoditi," katanya pada taklimat media sempena pameran MIACES yang akan berlangsung pada 26 hingga 28 Julai 2022, di sini hari ini.

MIACES anjuran Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (MPIC) itu akan diadakan di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), menampilkan produk komoditi permintaan ramai, perkhidmatan berkaitan, dan teknologi perladangan terbaharu di bawah bumbung yang sama.

Acara sepanjang tiga hari itu juga bakal menyediakan persidangan, perbincangan meja bulat, mesyuarat perniagaan ke perniagaan (B2B), dan malam anugerah berprestij sebagai pengiktirafan buat mereka yang membawa perubahan dalam sektor ini.

Sementara itu, Zuraida berkata, pihaknya menggesa pemain industri untuk memanfaatkan MIACES sebagai batu loncatan untuk menembusi industri yang bernilai AS$756 bilion (RM3.37 trilion) di seluruh dunia.

Beliau berkata, acara ini menawarkan persekitaran perniagaan kondusif yang memudahkan peserta untuk menjalin hubungan, berurus niaga dengan transaksi yang besar, serta meneroka potensi pelaburan.

"Ia juga memberi peluang untuk mereka menyusun strategi produktif ke arah menembusi pasaran baharu sebelum kita memasuki tahun 2023.

"MIACES adalah langkah yang baik untuk menghubungkan pemain industri dengan penyelesaian yang inovatif sekaligus menyumbang ke arah mencapai Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) terutamanya ketika dunia menghadapi perubahan iklim.

"Melalui perbincangan meja bulat MIACES, kami juga berharap ia mencetus perbincangan ke arah membangunkan dasar yang relevan dengan peredaran masa, sambil memastikan pembangunan yang mampan di Malaysia sebagai negara pengeluar dan pengeksport," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 Julai 2022 @ 5:52 PM