Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Zuraida Kamaruddin. - FOTO Mohd Fadli Hamzah
Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Zuraida Kamaruddin. - FOTO Mohd Fadli Hamzah
BERNAMA

Putrajaya: Dasar Agrikomoditi Negara 2021-2030 (DAKN 2030) yang dilancarkan hari ini menggariskan penekanan dan hala tuju lapan komoditi utama iaitu kelapa sawit, getah, kayu-kayan, koko, lada, kenaf, biojisim dan biobahan api.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Zuraida Kamaruddin berkata DAKN 2030 berpaksikan kepada lima teras utama iaitu kemampanan, produktiviti, penjanaan nilai, pembangunan pasaran dan keterangkuman.

"Dasar ini dibangunkan agar semua agensi di bawah Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi adalah dalam hala tuju yang satu, arah yang sama dan berasaskan lima tunjang yang sama apabila melaksanakan aktiviti-aktiviti mereka," katanya kepada media selepas melancarkan DAKN 2030 di sini hari ini.

DAKN 2030 merupakan kesinambungan kepada Dasar Komoditi Negara 2011-2020 dan penggubalan hala tuju dasar itu adalah berteraskan kepada agenda nasional seperti Dasar Wawasan Kemakmuran Bersama 2030, Matlamat Pembangunan Mampan, Rancangan Malaysia ke-12 dan Rancangan Fizikal Negara Ke-3.

Zuraida berkata selain itu DAKN 2030 ini juga antara lain bertujuan untuk meningkatkan pencambahan idea dari segi teknologi, meluaskan pasaran dan meningkatkan lagi produktivi berpaksikan lima teras utama.

Katanya DAKN 2030 digubal bagi memastikan sektor ini terus dipacu dan memberi sumbangan secara berterusan kepada negara melalui Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan pendapatan eksport negara.

Pada masa yang sama, beliau berkata DAKN 2030 dijangka dapat membangunkan sosio ekonomi rakyat dengan mengurangkan jurang pendapatan dan kadar kemiskinan, terutamanya bagi masyarakat luar bandar.

"Sumbangan sektor agrikomoditi kepada pembangunan sosio ekonomi rakyat sejak sedekad yang lalu terbukti apabila telah menjana sumber pendapatan kepada hampir 1.3 juta pekebun kecil dan peluang pekerjaan kepada hampir sejuta rakyat tempatan," katanya.

Beliau berkata pencapaian negara di peringkat antarabangsa menunjukkan kemajuan yang memberangsangkan, antaranya Malaysia merupakan pengeksport sarung tangan getah terbesar dunia dan pengeksport minyak sawit kedua terbesar dunia selepas Indonesia.

Zuraida berkata sumbangan sektor agrikomoditi kepada KDNK negara juga menunjukkan peningkatan daripada RM76.2 bilion pada 2010 kepada RM84.3 bilion pada 2021.

"Peningkatan sebanyak 6.1 peratus merupakan satu permulaan yang baik dalam usaha kerajaan untuk memastikan nasib pekebun kecil dan pemain industri dalam sektor ini terus terbela," katanya.

Beliau berkata DAKN 2030 turut menyenaraikan 11 program flagship dan memberi tumpuan untuk menggalakkan pertumbuhan industri berasaskan agrikomoditi dan mempertingkatkan penerimagunaan ekonomi kitaran.

Zuraida dalam pada itu berkata kementerian juga akan menganjurkan Ekspo dan Sidang Kemuncak Agrikomoditi Antarabangsa Malaysia (MiACEs) pada pertengahan tahun ini dengan menghimpunkan kesemua sektor agrikomiditi negara di bawah satu ekspo bertaraf antarabangsa.

Dalam perkembangan lain, ketika ditanya rampasan oleh Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan (CBP) Amerika Syarikat (AS) terhadap produk sawit Malaysia, beliau berkata kementerian sedang menyiasat perkara itu.

"Kita masih lagi siasat. Kita tidak tahu dari mana, syarikat mana, kerana kadang-kadang dia (CBP) lihat produk itu kemungkinan bukan dari Malaysia tetapi dari negara lain atau syarikat lain yang mungkin ada sebahagian kecil kandungan itu dari Malaysia, pun dia (CBP) kata dari Malaysia. Itu yang kita nak kena siasat," katanya.

Terdahulu, dilaporkan CBP AS berkata ia telah merampas empat penghantaran minyak sawit Malaysia di Baltimore bernilai AS$2.5 juta sejak 11 Februari berikutan maklumat yang menunjukkan bahawa komoditi itu dikilangkan melalui penggunaan buruh paksa.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 Mac 2022 @ 5:18 PM