EKSPO dan Sidang Kemuncak Agrikomoditi Antarabangsa Malaysia (MIACES) 2022 akan menjadi platform untuk menangkis dakwaan seperti buruh paksa dan isu kemampanan dalam sektor agrikomoditi.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Zuraida Kamaruddin berkata kerajaan akan memastikan syarikat dan kementerian dalam sektor agrikomoditi menjaga kebajikan pekerja dalam sektor perladangan selain akur kepada isu kemampanan seperti yang digariskan dalam Dasar Agrikomoditi Negara (DAKN) 2021-2030.

"Walaupun produk agrikomoditi kita mendapat sambutan yang memberangsangkan di pasaran global, kementerian masih lagi menghadapi cabaran seperti tuduhan buruh paksa dan isu kemampanan daripada pihak-pihak tertentu.

"Tuduhan-tuduhan ini adalah tidak berasas kerana beberapa faktor tidak diambil kira dan tiada penyiasatan yang terperinci sebelum tindakan dikenakan terhadap syarikat atau produk-produk agrikomoditi keluaran Malaysia," katanya dalam ucapan pembukaan ketika majlis perasmian MIACES 2022 di sini semalam.

MIACES yang dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) diadakan bermula semalam sehingga 28 Julai.

Zuraida berkata, penganjuran MIACES bertemakan 'Memajukan Sektor Agrikomoditi Dalam Ekosistem Lestari' bertujuan untuk mempromosikan Malaysia sebagai hab antarabangsa sektor itu bagi mengukuhkan kedudukan negara sebagai pengeluar utama produk agrikomoditi serta mempamerkan inovasi dan teknologi tempatan di peringkat antarabangsa.

"Kita juga ingin menekankan usaha-usaha Malaysia untuk menjamin kemampanan dalam sektor ini dan bukannya seperti yang dipaparkan oleh tuduhan pihak-pihak tertentu," katanya.

Melalui MIACES, Zuraida berkata, kementerian tersebut menyasarkan nilai eksport RM300 bilion bagi 2022 berbanding RM209.5 bilion pada 2021.

Katanya, peserta industri berpeluang untuk mengembangkan perniagaan, meneroka pasaran baharu bagi eksport agrikomoditi.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Julai 2022 @ 7:37 AM