KOTA Gaza. FOTO AFP
KOTA Gaza. FOTO AFP
BERNAMA

New Delhi: Pakistan dan Maldives adalah antara negara yang menggesa Israel supaya segera mematuhi keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) yang mengikat supaya rejim itu menghentikan serangan tenteranya di bandar selatan Gaza, Rafah.

Keputusan yang dikeluarkan mahkamah yang berpangkalan di The Hague, Belanda oleh panel 15 hakim itu pada Jumaat merupakan sebahagian daripada kes genosid yang secara berterusan dikemukakan Afrika Selatan terhadap Israel.

Presiden Maldives Mohamed Muizzu berkata Israel perlu mematuhi keputusan ini dan dengan segera menghentikan kekejaman di Rafah. Ia juga perlu membuka laluan sempadan Rafah untuk membenarkan penghantaran bantuan kemanusiaan dengan selamat.

"Sementara ini merupakan langkah penting ke arah keamanan, kami percaya penubuhan sebuah negara Palestin yang merdeka dan berdaulat berdasarkan sempadan pra-1967 dengan Baitulmuqaddis Timur sebagai ibu negaranya merupakan penyelesaian untuk keamanan yang berpanjangan, kataya.

Sementara itu, Duta Pakistan ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Munir Akirram berkata keputusan ICJ mengarahkan Israel menghentikan operasi tenteranya di Rafah dan membuka akses kepada bantuan kemanusiaan adalah mengikat.

"Jika Israel gagal mematuhinya, Majlis Keselamatan PBB harus mempertimbangkan langkah penguatkuasaan keputusan mahkamah ini,"katanya.

Semakin banyak negara menggesa supaya tindakan di peringkat antarabangsa dilaksanakan terhadap Israel dan pemimpinnya.

"Tiada negara yang kebal undang-undang. Kami berharap Israel segera mematuhi kesemua keputusan ICJ. Dalam hal ini, kami menggesa Majlis Keselamatan PBB memainkan peranannya," kata Kementerian Luar Turkiye dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Kekejaman Israel terhadap orang awam di Gaza mengakibatkan perasaan jijik yang meningkat terhadap rejim Israel dan pegawainya yang terus tidak memperdulikan undang-undang antarabangsa dan pendapat umum dalam melakukan pembunuhan beramai-ramai dalam Wilayah Palestin yang diduduki mereka.

Selepas memusnahkan utara Gaza, Israel meningkatkan serangannya di Rafah, selatan Gaza yang menempatkan 1.5 juta orang yang berlindung daripada serangan udara dan pengeboman oleh Israel.

Malaysia menyokong kuat usaha Afrika Selatan untuk menghentikan genosid terhadap warga Palestin dan menggesa masyarakat antarabangsa supaya memenuhi tanggungjawab mereka untuk menghentikan jenayah perang Israel.

Serangan tentera Israel telah meragut nyawa sekurang-kurangnya 35,800 rakyat Palestin dan mencederakan lebih 80,000 orang dalam serangan genosid selama tujuh bulan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Mei 2024 @ 5:09 PM