Kuala Lumpur: Kumpulan Touch 'n Go (TNG) melalui Touch 'n Go eWallet bersama Payment Network Malaysia Sdn Bhd (PayNet) melancarkan kempen Mai Kita Cashless di Pasar Tani Kekal, Changlun, Kedah yang membolehkan peniaga dan pengguna di kawasan itu menyertai zaman digital dengan penggunaan pembayaran tanpa tunai.

Ketua Pegawai Eksekutif, TNG Digital Sdn Bhd, Alan Ni berkata, kempen Mai Kita Cashless dilancarkan untuk menggalakkan dan menyokong usaha berterusan pihak kerajaan dalam mendorong pembayaran tanpa tunai, serta mencapai misi mengubah masyarakat luar bandar menjadi masyarakat tanpa tunai.

"Mai Kita Cashless bertujuan mendidik dan menambah pemahaman masyarakat mengenai urus niaga tanpa tunai sebagai mod pembayaran.

"Jalinan kerjasama dengan PayNet ini membolehkan kami menyampaikan platform lancar, cepat, mudah digunakan dan selamat dengan DuitNow QR kepada peniaga dan pengguna di Changlun, Kedah.

"Kami percaya kerjasama ini membantu memperkasakan semua peniaga, serta pengguna, dalam peningkatan ekonomi di kawasan ini," katanya dalam kenyataan.

Kempen ini tertumpu kepada masyarakat di tiga kampung dalam kawasan Changlun, iaitu Kampung Baru Changloon, Kampung Paya Nongmi dan Kampung Tradisi Lembah Keriang.

Dari sekarang hingga 31 Ogos 2022, pengguna boleh menggunakan Touch 'n Go eWallet untuk pembelian di Pasar Tani Kekal Changlun dan kawasan di sekitar Changlun dengan mengimbas kod DuitNow QR dan mereka menikmati pulangan tunai RM5 bagi setiap urus niaga dengan jumlah urus niaga minimum RM10.

Peniaga yang mendaftar dalam tempoh ini mendapat ganjaran RM20 selepas penyelesaian 10 urus niaga.

Pada masa kini, Touch 'n Go eWallet diterima di lebih 670,000 tempat runcit dalam talian dan luar talian serta di 1.2 juta tempat jualan DuitNow QR di seluruh negara.

Selain itu, Touch 'n Go eWallet juga diterima di Singapura dan Jepun melalui rangkaian peniaga Alipay+.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Julai 2022 @ 7:01 AM