GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP

TNG Digital Sdn Bhd (TNGD) menaik taraf semua fungsi tambah nilai perbankan dalam taliannya melalui Touch 'n Go eWallet daripada FPX kepada pemindahan DuitNow berkuat kuasa 31 Julai lalu.

Peningkatan ini menawarkan pengguna kaedah yang mudah dan selamat untuk mengisi semula eWallet mereka terus daripada aplikasi atau laman web bank masing-masing.

TNGD melalui kenyataan berkata, nombor akaun DuitNow Touch 'n Go eWallet juga boleh ditetapkan sebagai favourite pada aplikasi bank dan pilihan transaksi berulang secara automatik.

"Perkhidmatan ini juga membolehkan tambah nilai eWallet daripada serendah RM1, tanpa bayaran atau caj tambahan.

"Di samping itu, peningkatan kepada perkhidmatan DuitNow ini adalah langkah keselamatan tambahan yang memberikan ketenangan kepada pengguna dan dengan ketara mengurangkan risiko maklumat dibocorkan pihak ketiga.

"Untuk persediaan kali pertama, pengguna perlu memasukkan nombor akaun DuitNow eWallet mereka dalam aplikasi atau laman web bank, pilih jumlah tambah nilai pilihan mereka, sahkan urus niaga dan simpan butiran sebagai 'favourite' untuk urus niaga masa hadapan.

"Pengguna juga digalakkan untuk menetapkan transaksi berulang untuk kemudahan mereka," katanya.

Sementara itu, TNGD berkata usaha ini menandakan komitmen berterusan pihaknya untuk menyediakan platform mudah dan selamat untuk semua transaksi harian dan keperluan kewangan kepada penggunanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 Ogos 2023 @ 7:00 AM