Kakitangan Bank Islam, Syahirah Rashid menunjukkan kad kredit Bank Islam Visa Edisi Khas bertemakan FIFA. - FOTO NSTP
Kakitangan Bank Islam, Syahirah Rashid menunjukkan kad kredit Bank Islam Visa Edisi Khas bertemakan FIFA. - FOTO NSTP
Amir Abd Hamid


Kuala Lumpur: Bank Islam Malaysia Berhad (Bank Islam) dengan kerjasama Visa menawarkan 10,000 Kad Kredit-i Edisi Terhad Bank Islam Visa Bertemakan FIFA kepada pelanggan baharu dan sedia ada.

Melalui kempen mulai 15 Jun hingga 30 September 2022 itu, pemegang kad berpeluang memenangi pengalaman seumur hidup untuk terbang ke Qatar menyaksikan perlawanan bola sepak paling berprestij di dunia ditaja Visa yang juga Rakan Global Fifa.

Ketua Pegawai Perniagaan Kumpulan (Runcit) Bank Islam, Mizan Masram berkata, hadiah yang disediakan termasuk tiket perlawanan dan penerbangan pergi-balik untuk dua orang, penginapan serta wang tunai bernilai RM10,000.

"Di samping itu, pemegang Kad Kredit-i Edisi Terhad Bank Islam Visa Bertemakan FIFA turut berpeluang memenangi hadiah sagu hati bulanan iaitu barangan edisi terhad FIFA 2022, menikmati pulangan tunai atau baucar barangan sukan.

"Pelanggan layak menyertai kempen ini dengan memohon dan mengaktifkan kad edisi terhad ini atau mengumpul kelayakan penyertaan dengan berbelanja pada nilai minimum RM200 dalam satu resit menggunakan kad ini sepanjang tempoh kempen.

"Kami amat berbesar hati bekerjasama dengan Visa menerusi penawaran Kad Kredit-i Edisi Terhad Bank Islam Visa Bertemakan FIFA ini ketika kita semakin menghampiri penganjuran Piala Dunia FIFA Qatar 2022 yang dijadualkan berlangsung tahun ini," katanya dalam ucapan pelancaran kad kredit itu, di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengurus Negara Visa Malaysia, Ng Kong Boon.

Mizan berkata, dengan reka bentuk menarik yang menampilkan trofi Piala Dunia FIFA pada bahagian latar kad, peminat bola sepak akan memperingati acara terunggul itu seterusnya memeriahkan lagi penganjurannya.

"Dibangunkan dengan mengambil kira keperluan dan kehendak peminat sukan bola sepak terutamanya golongan muda dan baru bekerja, Bank Islam menyasarkan perolehan 10,000 pemegang kad baharu Kad Kredit-i Edisi Terhad Bank Islam Visa Bertemakan FIFA ini.

"Ia adalah satu gaya hidup menawarkan pelbagai manfaat yang direka khusus untuk pemegang kad, daripada kegunaan membeli-belah kepada melancong, menikmati juadah menyelerakan mahu pun hiburan.

"Seterusnya menawarkan pemegang kad melalui pengalaman perbankan yang unik dan berharga," katanya.

Sementara itu, Ng berkata sebagai Rakan Perkhidmatan Pembayaran Rasmi Piala Dunia FIFA Qatar 2022, pihak Visa gembira bekerjasama dengan Bank Islam dalam memperkenalkan kad kredit khas bertemakan FIFA.

Katanya, menerusi kad itu, Visa berupaya menyediakan ganjaran kepada ahli kad menerusi pengalaman yang menakjubkan dengan menyaksikan acara sukan global itu.

"Kami berharap rakyat Malaysia akan memanfaatkan pengalaman yang ditawarkan dengan memohon kad ini dan merebut peluang untuk memenangi tiket menonton perlawanan Piala Dunia secara langsung di Qatar serta barangan ekslusif FIFA yang menarik.

"Di samping itu, manfaat lain kad ini termasuk perlindungan takaful percuma bagi baki kad dan ganjaran TruPoints bagi setiap RM1 yang dibelanjakan menggunakan kad ini.

"Pemegang kad dengan 12 transaksi minimum setiap tahun turut layak menikmati pengecualian fi tahunan," katanya.

Menurutnya, permohonan bagi kad itu boleh dibuat di cawangan Bank Islam.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Jun 2022 @ 3:49 PM