Ketua Pegawai Eksekutif MPN, Prof Datuk Dr Raduan Che Rose (kiri) dan Pengerusi MPN, Prof Tan Sri Zakri Abd Hamid (tengah) bersama Zukri melancarkan kad kredit-i Bank Islam Visa Infinite, semalam.
Ketua Pegawai Eksekutif MPN, Prof Datuk Dr Raduan Che Rose (kiri) dan Pengerusi MPN, Prof Tan Sri Zakri Abd Hamid (tengah) bersama Zukri melancarkan kad kredit-i Bank Islam Visa Infinite, semalam.
Syarifah Dayana Syed Bakri

Putrajay: Bank Islam Malaysia Berhad (Bank Islam) melancarkan kad kredit jenama bersama, Kad Kredit-i Bank Islam Visa Infinite bersama Majlis Profesor Negara (MPN).

Kad kredit yang bertindak sebagai kad keahlian MPN adalah yang pertama bagi Visa Infinite dan satu-satunya kad kredit jenama bersama patuh syariah.

Pengarah Urusan Bank Islam Datuk Seri Zukri Samat berkata, kad berkenaan akan digunakan 6,600 ahli MPN di seluruh negara terdiri ahli akademik berstatus Profesor dan Profesor Madya.

“Kad ini bukan saja bertindak sebagai kad kredit, malah kad keahlian anggota MPN. Tiada masalah sekiranya mereka tidak menggunakannya untuk berbelanja,” katanya selepas pelancaran kad kredit berkenaan di sini, semalam.

Menurutnya, Bank Islam menyediakan beberapa kemudahan tambahan kepada pemegang kad iaitu perlindungan takaful ke atas baki tertunggak dan khairat kematian RM1,000, selain perlindungan kemalangan perjalanan peribadi 24 jam sewaktu perjalanan sehingga RM2 juta.

Katanya, pemegang kad menerima perlindungan kesulitan ketika penerbangan sehingga RM1,000 setiap kejadian, perlindungan liabiliti peribadi sehingga RM500,000 setiap kejadian secara percuma serta perlindungan pembelian takaful sehingga RM10,000 secara percuma atas kehilangan atau kerosakan barangan dibeli menggunakan kad berkenaan.

“Kad ini dilengkapi ciri keselamatan tambahan Pin & Pay, selain diskaun 40 peratus bagi penulisan wasiat,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Zukri berkata, beliau tidak akan menyambung perkhidmatannya dengan bank berkenaan selepas kontraknya tamat secara rasmi Jun ini.

Beliau mula memegang jawatan itu sejak 9 Jun 2006 dan menganggap tiba masanya beliau melepaskan jawatan berkenaan.

“Saya bersama Bank Islam sejak 2006 dan kontrak saya tamat Jun ini. Saya membuat keputusan tidak menyambung semula kontrak kerana sudah tiba masa Bank Islam memerlukan pemimpin baru daripada golongan muda,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 January 2017 @ 8:34 AM