KAKITANGAN Bank Rakyat menunjukkan   Kad Kredit-i Bank Rakyat Platinum Explorer, semalam.
KAKITANGAN Bank Rakyat menunjukkan Kad Kredit-i Bank Rakyat Platinum Explorer, semalam.

KUALA LUMPUR: Bank Rakyat menjadi bank pertama di negara ini apabila memperkenalkan Kad Kredit-i Bank Rakyat Platinum Explorer yang memberi pulangan tunai sebanyak lima peratus untuk segmen percutian.

Pemangku Pengarah Urusan Bank Rakyat, Datuk Rosman Mohamed berkata, Kredit-i Bank Rakyat Platinum Explorer terbaharu ini adalah patuh syariah dan direka khusus untuk mereka yang gemar melancong serta menikmati pelbagai ganjaran.

Katanya, Bank Rakyat menyasarkan 1,000 pemohon baharu setiap bulan yang akan menjadi pemegang Kredit-i Bank Rakyat Platinum Explorer.

“Sehingga Ogos tahun ini, kami mempunyai lebih 400,000 pemegang kad kredit dan kami yakin dapat mencapai sasaran ini yang disasarkan khusus kepada pelancong muda di Malaysia berdasarkan peningkatan permintaan terhadap perbelanjaan intra serantau.

“Pelancaran kad kredit-i perjalanan ini adalah tepat pada masanya kerana kami menyaksikan pertumbuhan kukuh di luar negara menerusi perbelanjaan berkaitan percutian,” katanya kepada media di majlis pelancaran Kredit-i Bank Rakyat Platinum Explorer bersama Mastercard di sini, semalam.

Rosman berkata, rakyat Malaysia gemar melancong dan pihaknya ingin memastikan kad ini membolehkan mereka mendapat diskaun maksimum atau pulangan tunai untuk perjalanan yang lebih kerap.

Selain itu, beliau berkata, semua pemegang kad kredit-i Bank Rakyat bakal menikmati lima peratus pulangan tunai tanpa had apabila mengisi petrol pada setiap hari Khamis di semua stesen minyak di seluruh negara bermula Oktober hingga Disember 2019.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 September 2019 @ 10:30 AM