KHAIRUDDIN (dua dari kanan) pada pelancaran kerjasama kad Bank Rakyat bersama Parkson dan penyerahan hadiah Kempen Skim Ansuran Mudah Kad Kredit-i, semalam.
KHAIRUDDIN (dua dari kanan) pada pelancaran kerjasama kad Bank Rakyat bersama Parkson dan penyerahan hadiah Kempen Skim Ansuran Mudah Kad Kredit-i, semalam.

Kuala Lumpur: Bank Rakyat optimis untuk mencapai sebanyak 420,000 pemegang Kad Kredit-i dan Kad Debit-i menjelang akhir tahun ini menerusi Kempen Skim Ansuran Mudah Kad Kredit-i Bank Rakyat yang berlangsung selama tiga bulan bermula dari 1 September hingga 30 November lalu.

Ketua Pegawai Operasinya Md Khairuddin Arshad, berkata, sepanjang kempen terbabit berlansung, Bank Rakyat telah mencatatkan sehingga 360,000 pengguna Kad Kredit-i dan Kad Debit-i iaitu peningkatan sebanyak 32 peratus dengan jumlah transaksi bernilai lebih RM800 juta.

“Kita sentiasa yakin untuk meningkatkan bilangan ini dalam lingkungan 10 hingga 30 peratus sepanjang tahun ini menerusi pelbagai inisiatif dan hubungan strategik diadakan dalam usaha memperhebatkan penggunaan Kad Kredit-i dan Debit-i.

“Buat masa ini, sebanyak 45 peratus koperasi di bawah Bank Rakyat menggunakan kad kredit-i dan kita berharap jumlah ini mampu berkembang kepada peratusan lebih positif bagi mencapai sasaran lebih 50 peratus tahun ini,” katanya selepas majlis pelancaran kerjasama kad Bank Rakyat bersama Parkson dan penyerahan hadiah Kempen Skim Ansuran Mudah Kad Kredit-i, semalam.

Bermula 27 Februari hingga 30 April ini, Bank Rakyat akan mengadakan Skim Ansuran Mudah kepada pemegang kad dengan setiap pembelian minimum RM1,000 dalam satu resit di semua 40 cawangan Parkson di Malaysia.

Sementara itu, dalam majlis berasingan kelmarin, Bank Rakyat menjangkakan sentimen berhati-hati pelanggan untuk membuat pembiayaan akan berlanjutan tahun ini berikutan situasi ekonomi yang mencabar.

Pengerusinya, Tan Sri Abdul Aziz Zainal berkata, bank yang menjana pendapatan daripada segmen pembiayaan dari tahun ke tahun bagaimanapun optimis prestasi kewangannya masih positif pada tahun ini meskipun sentimen itu dijangka berlarutan.

Beliau berkata, dengan kerjasama strategik bersama rakan korporat yang mempunyai pekerja atau ahli yang ramai turut memberi kesan positif kepada prestasi bank untuk jangka masa panjang.

“Ketika ini, kita mengadakan kerjasama dengan Persatuan Perkhidmatan Kawalan Keselamatan Malaysia (PPKKM) selama dua tahun yang mana menerusi kerjasama ini, Bank Rakyat dapat menawarkan produk seperti pembiayaan dengan kadar kompetitif kepada ahli-ahlinya untuk mengembangkan perniagaan.

“Selain itu, kerjasama ini turut memberi manfaat kepada Bank Rakyat untuk meningkatkan jumlah pendeposit dan akaun semasa,” katanya pada majlis menandatangani perjanjian bersama PPKKM, kelmarin.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 January 2016 @ 6:41 AM